
Dalam pesanannya, ahli politik berusia 67 tahun itu mengucapkan terima kasih kepada 10,677 pengundi yang mengundi Warisan dan juga jentera parti serta Pakatan Harapan (PH) yang bekerja keras sepanjang pilihan raya itu.
“Namun kemenangan tidak berpihak kepada kita. Walaupun pahit untuk kita telan, namun saya terima dengan hati terbuka,” katanya di Facebook.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Alamin atas kemenanganya.
Mohamad mengalahkan Karim dengan majoriti 2,029 undi, sekali gus mempertahankan kerusi yang dikuasai bekas parti kerajaan itu selama 3 penggal.
PRK Kimanis diadakan berikutan keputusan mahkamah membatalkan keputusan pilihan raya umum ke 14 bagi kerusi Parlimen itu berikutan kewujudan unsur luar aturan.
Bekas ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman mengalahkan Karim ketika itu dengan majoriti kecil 156 undi.
Karim meninggalkan pusat pengiraan undi di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir malam tadi apabila menyedari Mohamad Alamin telah meraih lebih 11,000 undi.
Beliau tidak dapat dihubungi selepas hari mengundi.