
Beliau berkata, keputusan pilihan raya itu jelas menggambarkan rasa tidak puas hati rakyat Sabah terhadap “pendekatan sambil lewa” kerajaan negeri pimpinan Warisan berhubung isu Pas Sementara Sabah (PSS) kepada pendatang asing di negeri itu.
Pada PRK semalam, calon BN Mohamad Alamin mengalahkan calon Warisan Karim Bujang dengan majoriti 2,029 undi, sekali gus mempertahankan kerusi yang dimenangi bekas parti kerajaan itu selama 3 penggal.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kitingan, yang merupakan presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, keputusan pilihan raya itu menggambarkan sentimen rakyat menolak dasar kerajaan pimpinan Shafie, seperti pas sementara yang dikenali sebagai PSS.
Pas tersebut, yang dijadual dilaksanakan pada Jun ini, akan menggantikan 3 dokumen pengenalan diri berlainan yang dimiliki oleh pendatang asing di Sabah.
Rancangan tersebut dikritik oleh banyak pihak.
Kitingan berkata, usaha partinya mengingatkan kerajaan persekutuan dan negeri tidak mendapat perhatian.
“Pendekatan sambil lewa kerajaan persekutuan dan negeri menunjukkan mereka tidak mendengar kebimbangan rakyat Sabah berhubung PSS, selain pengendalian isu pendatang asing di negeri ini,” katanya.
Beliau menuduh kerajaan “berkeras mahu melaksanakan PSS” dengan “memaksakannya ke atas rakyat Sabah” walaupun ia ditolak majoriti rakyat.
Kitingan berkata, pemimpin Warisan perlu mendengar suara akar umbi.
“Rakyat berasa diketepikan. Mereka bimbang dan takut,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan Warisan mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar dengan mengamalkan pendekatan menyembunyikan kebenaran seperti terlihat melalui langkah mengumumkan projek dan pelaburan asing langsung bernilai berbilion ringgit yang belum menjadi kenyataan.
“Ironinya, apa yang kita saksikan beberapa waktu ini ialah pemimpin Warisan memotong riben merasmikan projek yang dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.