
Pengundi mula beratur di luar sekolah kawasan terpencil yang dijadikan pusat mengundi seawal 6.40 pagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menyasarkan 70% pengundi akan keluar mengundi dan seramai 650 kakitangan ditugaskan untuk memastikan kelancaran proses pengundian untuk PRK ke-10 selepas pilihan raya umum 2018.
Calon Barisan Nasional, Mohamad Alamin berdepan calon Warisan, Karim Bujang dalam pertandingan satu lawan satu untuk menjadi ahli Parlimen Kimanis yang baru.
Mohamad mengundi di SK Our Lady Fatima Kelatuan pada 9.15 pagi dan Karim di SK Kimanis kira-kira 15 minit lebih awal.

Juanis Puduk, 72, dari Kampung Langkawit di Papar dekat sini berkata, beliau datang awal ke SK Our Lady Fatima Kelatuan bagi mengelakkan orang ramai seperti yang berlaku pada PRU14.
Pesara polis itu bersama isterinya, Malina Mantil tidak bersarapan untuk keluar lebih awal.
“Kami berharap calon yang kami undi akan menjalankan tugasnya dengan baik dan berjuang untuk pembangunan yang diperlukan kawasan ini.”
Vincent Matusin yang pernah diserang strok berkata, keadaan tidak melemahkan semangatnya untuk mengundi hari ini.
“Saya mengalami strok pada 2005 dan terpaksa berkerusi roda sejak itu. Tetapi, saya tidak akan biarkan kesihatan menghalang saya daripada mengundi,” katanya yang turut mengundi pada PRU14 lalu.
Pengundian akan tamat 5 petang nanti dan keputusan dijangka diumumkan pada 10 malam.
Proses penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort.
Terdapat 29,644 pengundi di Kimanis dengan 52% daripadanya ialah Bumiputera Islam, 41% Bumiputera bukan Islam dan 6% Cina.