
SIS menggesa kerajaan mewujudkan saluran komunikasi terbuka dengan Jawatankuasa Pemandu Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur yang akan memantau pelaksanaan pelan itu untuk memastikan undang-undang negeri sejajar dasar persekutuan.
Ia juga berharap semua kementerian dan agensi terbabit memberi kerjasama penuh kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) supaya perkahwinan bawah umur tidak lagi berlaku dalam tempoh 5 tahun ini.
“Ia penting untuk pelan yang membabitkan 61 agensi dan 58 program atau tindakan membawa kepada pematuhan piawaian antarabangsa yang Malaysia sudah meratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) serta langkah ke arah mencapai matlamat pembangunan lestari tanpa ada orang yang ketinggalan.
“SIS menantikan penglibatan berterusan dengan KPWKM berhubung pelan ini dan pelaksanaannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Putrajaya melancarkan pelan strategi kebangsaan bagi menangani perkahwinan bawah umur yang merangkumi 7 objektif, 17 strategi dan 58 program bagi tempoh 5 tahun sehingga 2025.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, 6 faktor dikenal pasti sebagai punca perkahwinan bawah umur, termasuk kemiskinan, kekurangan akses pendidikan, kelonggaran undang-undang, stigma masyarakat yang perkahwinan pilihan terbaik menyelesaikan masalah serta kurang penyelarasan data perkahwinan dan perceraian bawah umur.
Beliau berkata, isu perkahwinan bawah umur akan ditangani dengan perubahan dasar, penambahbaikan perundangan, pelaksanaan program serta aktiviti kesedaran.
Pada 2018, Selangor menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun yang disusuli Melaka, Perak, Johor, Sabah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan dalam proses meminda undang-undang mereka.
Tetapi, 7 negeri tidak bersetuju menaikkan had umur perkahwinan kepad 18 tahun, iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Sarawak.