Murtad dosa besar, G25 tak setuju atau galak keluar Islam

Murtad dosa besar, G25 tak setuju atau galak keluar Islam

Mereka yang berniat meninggalkan Islam haruslah diyakinkan tidak berbuat demikian kerana ia adalah dosa besar.

G25 ingin memberi respons kepada pelbagai komen serta kritikan yang dibangkitkan di media sosial berikutan penerbitan laporan terbaru kami berjudul “Administration of Matters Pertaining to Islam”.

Laporan yang dilancarkan pada 11 Jan 2020 bertempat di Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) dihadiri individu, badan bukan kerajaan, misi luar negara dan diplomat, termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan juga media.

Pelancaran itu disusuli perbincangan 3 ahli panel yang dipengerusikan seorang ahli G25 yang memainkan peranan utrama dalam melengkapkan laporan itu. Panel juga dapat berinteraksi dengan para hadirin melalui soalan serta komen yang dikemukakan dalam sesi soal jawab.

Laporan itu untuk menangani isu-isu utama berkaitan pentadbiran Islam di negara ini, terutamanya untuk mencerahkan undang-undang kurang jelas yang memberi kesan dalam penerapan syariat Islam di dalam dasar pentadbiran awam.

Dalam meneliti kepentingan ini, penyelidik telah mengkaji latar belakang dan sejarah pentadbiran Islam yang direkodkan melalui kertas kerja, artikel, perbincangan dan perundingan di kalangan pihak berkepentingan, termasuklah raja-raja Melayu dan pemimpin politik yang merangka Perlembagaan untuk Tanah Melayu yang merdeka.

Kajian ini khususnya merujuk Laporan Suruhanjaya Reid, memorandum Parti Perikatan dan cadangan dari Jawatankuasa Kerja Perlembagaan yang dilantik raja-raja Melayu, kerajaan British dan kerajaan persekutuan Tanah Melayu.

Penyelidik kami telah membuat kesimpulan sama seperti penyelidik terdahulu, iaitu hakikatnya bila pengasas negara ini menjadikan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, mereka tidak berniat menjadikan Islam sebagai asas undang-undang dan pentadbiran negara.

Atas hakikat itu, kajian ini telah menyimpulkan Malaysia adalah negara sekular, dengan sistem pemerintahan seiring negara Komanwel demokrasi.

Tambahan, Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman memberi jaminan nyata kepada raja-raja Melayu walaupun Perlembagaan Persekutuan menjadikan Islam agama persekutuan, ia tidak menjejaskan bidang kuasa raja-raja Melayu sebagai ketua agama di negeri masing-masing.

Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia pada 1963, Suruhanjaya Cobbold menjamin Islam tetap menjadi simbol negara dan bukannya asas pentadbiran kerajaan.

Dapatan kami mengenai isu murtad dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengundang pelbagai andaian dan kritikan daripada sebilangan besar agamawan dan ahli politik, termasuk menteri telah dicapai dalam konteks peruntukan Perlembagaan.

Berkenaan murtad, kami ingin tegaskan G25 tidak setuju dan tidak menggalakkan umat Islam meninggalkan Islam. Sebaliknya, kami berpendapat murtad adalah dosa besar dalam Islam dan umat Islam harus tetap setia kepada agama secara peribadi mahupun umum.

Mereka yang berniat meninggalkan Islam haruslah diyakinkan tidak berbuat demikian kerana ia adalah dosa besar. Akan tetapi, jika mereka masih berkeras, terutamanya golongan mualaf, mereka harus dibenarkan kerana Perlembagaan menjamin kebebasan beragama, bukan sahaja kepada bukan Islam, tetapi semua rakyat Malaysia.

Negara Islam seperti Maghribi tidak menjadikan murtad kesalahan jenayah kerana mengikut konteks interpretasi mereka, murtad membawa maksud pengkhianatan.

Di zaman Rasulullah, adalah relevan menjadikan murtad satu kesalahan yang boleh dihukum bunuh kerana ada umat Islam pada zaman itu bersifat pengkhianat dan berpaling tadah untuk mengikuti seteru menentang Rasulullah dan kerajaan Islam waktu itu.

Ia adalah keadaan politik semasa, bukan doktrin agama. Oleh kerana murtad berkaitan khianat dianggap pengkhianatan tertinggi, adalah wajar untuk dijatuhkan hukum mati pada masa itu. Merujuk penguatkuasaan agama Maghribi, hukuman ini tidak lagi sesuai diguna pakai pada zaman moden ini.

Berkenaan Jakim, G25 tidak menyarankan ia dimansuhkan, sebaliknya memandangkan Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan kuasa kepada Majlis Raja-raja (MRR) untuk menubuhkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), kami mencadangkan jika raja-raja Melayu mahu mendapatkan kuasa untuk mewujudkan majlis sebegitu dan meletakkan Jakim sebagai sekretariatnya, mereka boleh melakukannya melalui Parlimen untuk meminda Perkara 38.

Jika ini dapat dilakukan dengan sendirinya, langkah ini akan meningkatkan lagi peranan MRR, terutamanya dalam hal berhubung pentadbiran Islam di Malaysia.

Kini, pernyataan kuasa di bawah Perkara 38 Perlembagaan tentang apa yang boleh dilakukan MRR amat spesifik. Ini menunjukkan penggubal Perlembagaan berniat dengan jelasnya mengecualikan agama daripada kuasa persekutuan kerana raja Melayu diberi jaminan yang Islam di dalam bidang kuasa negeri.

Pakar perundangan kami berpegang kepada Perkara 38 yang nyata dan memenuhi kehendak raja Melayu agar tiada kuasa diberi kepada MRR untuk menubuhkan badan atau jabatan pengelolaan agama Islam di peringkat persekutuan.

Tambahan lagi, merujuk kebimbangan MRR berkenaan implikasi Perkara 38 ke atas hak istimewa raja Melayu di negeri masing-masing, penggubal Perlembagaan memberi jaminan jika ada sebuah badan atau majlis yang ditubuhkan di peringkat persekutuan, ia hanyalah terhad bagi tujuan perhubungan (liaison) semata-mata.

Secara ringkas, perkara berkenaan Islam yang tertera di Jadual 9, Senarai II Perlembagaan Persekutuan berada di bawah bidang kuasa eksklusif negeri dan bukan di peringkat persekutuan atau kerajaan persekutuan.

Kami menyambut baik pindaan untuk mengiktiraf Jakim di dalam Perlembagaan. Jabatan peringkat persekutuan ini yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri mempunyai bajet besar, lebih besar daripada bajet beberapa kementerian.

Amatlah membingungkan dan dari segi undang-undang berisiko kepada kerajaan, sekiranya ada yang mempersoalkan kesahan memperuntukkan dana awam kepada Jakim dan membawa soal kesahan penubuhan Jakim sendiri dari segi undang-undang.

Kami di G25 percaya yang kami bersikap positif dan konstruktif membangkitkan isu ini kepada kerajaan.

Kami berasa kesal dan malang ada pengkritik di media sosial memilih untuk membangkitkan dapatan kajian yang khusus kepada Jakim tidak diiktiraf Perlembagaan, tanpa melihat seluasnya aspek lain yang mengandungi cadangan dan langkah untuk mengiktiraf Jakim di sisi Perlembagaan.

Laporan ini juga mengaitkan perkara seumpama di bawah bidang kuasa negeri – perkara berkenaan pemegangan tanah. Perlembagaan Persekutuan memberi peruntukan kepada Perkara 91 untuk menubuhkan Majlis Tanah Negara, walaupun tanah di bawah bidang kuasa negeri.

Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 76 (4) memberi kuasa membenarkan Parlimen menggubal Kanun Tanah Negara yang memberikan kuasa intervensi kerajaan persekutuan dalam membuat satu sistem pemegangan dan urusan tanah untuk menyeragamkan hal berkaitan dasar dan perundangan tanah.

Begitu juga, di sini, G25 mencadangkan Perlembagaan Persekutuan (dengan persetujuan negeri kerana Islam di bawah bidang kuasa negeri) dipinda untuk menubuhkan sebuah badan seiring Majlis Tanah Negara.

Badan ini boleh dinamakan Majlis Islam Negara yang berfungsi selari MRR dalam urusan berkaitan Islam dan fungsi Jakim yang sah di sisi undang-undang dalam kerangka Majlis Islam Negara.

Selain itu, jika perlu Parlimen seterusnya boleh menggunakan Perkara 76(1)(b) untuk menggubal undang-undang bagi menyeragamkan undang-undang berkaitan Islam di negeri kerana pada masa ini ada banyak kekurangan dari segi penyeragaman undang-undang Islam di negeri.

Kami dengan tangan terbuka menerima baik pelbagai komen mengenai dapatan kajian di dalam laporan ini kerana kami percaya dengan wujudnya dialog dan pertukaran fikiran terbuka, ia dapat memantapkan lagi pentadbiran Islam di negara dan dijadikan model rujukan untuk penggubalan dan penyenggaraan dasar umum di zaman moden.

G25 ialah kumpulan bekas penjawat awam kanan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.