‘Derma politik’ bukan untuk diri saya, Ku Nan beritahu mahkamah

‘Derma politik’ bukan untuk diri saya, Ku Nan beritahu mahkamah

Tengku Adnan didakwa menerima RM2 juta daripada pengarah syarikat Chai Kin Kong walaupun mengetahui ahli perniagaan itu mempunyai urus niaga dengan Kemnetreian Wilayah Persekutuan.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor.
KUALA LUMPUR:
Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak mendapat manfaat daripada “derma politik” berjumlah RM2 juta bagi membantu Umno dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 2016.

Beliau berkata, wang daripada Chai Kin Kong itu adalah bagi membantu Umno dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besi pada 18 Jun 2016.

Calon Umno, masing-masing Mastura Mohd Yazid dan Budiman Zohdi kemudiannya memenangi kedua-dua kerusi tersebut bagi pihak parti mereka.

“Dengan rendah diri, saya mahu menyebut bahawa saya tidak perlukan wang RM2 juta itu untuk diri sendiri.

“Sebelum menyertai Kabinet pada 2001 atas permintaan perdana menteri pada masa itu, saya adalah ahli perniagaan yang berjaya dan terlibat dalam banyak perniagaan seperti hartanah, pembalakan, pembuatan, perdagangan, pertanian, hotel, ternakan dan makanan,” katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi pembelaan dalam kes rasuah melibatkan dirinya.

Pendakwa sebelum ini berkata, Tengku Adnan didakwa menerima wang daripada Chai, yang merupakan pengarah syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd, bagi kedua-dua PRK itu dan bahawa ahli perniagaan itu mempunyai urus niaga dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dalam usaha membeli 2 lot tanah daripada dewan berkenaan.

Tengku Adnan berkata, beliau memberitahu Chai, yang dikenalinya lebih 30 tahun, supaya memberi sumbangan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana mereka memerlukan kira-kira RM5 juta untuk 2 PRK itu.

“Pada waktu itu, dia (Chai) tidak berjanji akan memberi apa-apa derma kepada Umno atau BN, tetapi hanya berkata dia akan memberi sumbangan kemudian.

“Dia temui saya selepas itu dan berkata dia bersetuju memberi derma RM2 juta untuk PRK berkenaan,” kata Tengku Adnan.

Tengku Adnan juga berkata, ahli perniagaan itu memberitahunya bahawa beliau tidak akan memberi wang tunai RM2 juta untuk PRK tersebut kerana halangan masa.

“Saya terpaksa menggunakan wang sendiri sebagai pendahuluan untuk membayar perbelanjaan Umno. Dia (Chai) hanya dapat memberikan kepada saya satu cek bernilai RM2 juta beberapa hari sebelum tarikh mengundi,” katanya.

Katanya, beliau menggunakan kira-kira RM2 juta tunai daripada akaunnya sendiri untuk membayar perbelanjaan dan aktiviti masyarakat jentera Umno di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Tengku Adnan juga menjelaskan kenapa beliau memasukkan cek RM2 juta itu ke dalam akaun syarikat miliknya Tadmansori Holdings Sdn Bhd.

“Saya berpengalaman luas dalam bidang perniagaan dan tahu bahawa dokumen bank akan menunjukkan cek tersebut dimasukkan ke dalam akaun syarikat,” katanya.

Terdahulu, pegawai bank CIMB, Khairolrony Kamaruddin memberi keterangan bahawa wang RM2 juta daripada Aset Kayamas Sdn Bhd milik Chai dibayar kepada Tadmansori.

Sementara itu, pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Muhammad Akmaludin Abdullah berkata, Tengku Adnan merupakan pemegang saham terbesar dalam Tadmansori.

Peguam Tan Hock Chuan sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan akan menunjukkan melalui keterangan lisan dan berdokumen bahawa Tengku Adnan tidak melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan seperti dituduh kerana menerima barang berharga dengan tiada balasan sebagai pegawai awam.

“Kami akan memanggil 3 hingga 6 saksi bagi kes pembelaan,” katanya.

Tengku Adnan, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, didakwa menerima RM2 juta daripada pengarah Aset Kayamas Chai Kin Kong, walaupun mengetahui bahawa syarikat ahli perniagaan itu mempunyai urus niaga dengan Kementerian Wilayah Persekutuan yang berada di bawah pengendaliannya pada masa itu.

Tan juga berkata, pihak pembelaan akan membuat permohonan kepada mahkamah untuk mengadakan satu prosiding tertutup bagi membolehkan Tengku Adnan mengemukakan dokumen mengenai perisytiharan aset beliau.

“Dokumen berkenaan adalah sensitif, tetapi ia penting bagi kes pembelaan,” katanya.

Timbalan pendakwa raya Julia Ibrahim memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan mahu melihat permohonan sebenar dibuat sebelum membuat keputusan sama ada mereka akan membantah.

Perbicaraan disambung pada 20 Jan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan. Mahkamah juga akan mendengar permohonan pembelaan untuk mengadakan prosiding tertutup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.