
Perubahan kehidupan 360 darjah, daripada celik menjadi buta, tidak sesekali diminta, namun itu takdir yang menimpa seorang atlet paralimpik boling Malaysia, Muhammad Hairul Miran, 42.
Mengakui ia bukan perkara mudah untuk dilalui, tetapi terpaksa juga ditempuh apabila Hairul cacat penglihatan secara kekal.

Menceritakan keadaan tersebut, Hairul berkata, dulu dia mampu melihat semua yang ada di dunia, namun nikmat itu hanya sementara apabila kemalangan di tempat kerja 18 tahun lalu meragut penglihatannya.

“Saya bukan cacat daripada lahir, ini semua berlaku sewaktu saya bekerja di kilang di bahagian operasi, tiba-tiba ada bahan kimia masuk ke dalam mata yang membuatkan saya menjadi buta.
“Pernah cuba untuk jalani pembedahan di Singapura namun akhirnya tidak berjaya. Saya mula tak ada arah tuju, putus asa dan redha sahaja dengan kehidupan yang cacat penglihatan sepenuhnya.
“Saya rimas pada dunia yang gelap, saya tak nampak apa-apa lagi seperti dulu,” katanya kepada FMT.
Sejak dari itu, Hairul mula mempelajari kehidupan orang buta, termasuk cara membaca dan mencari pekerjaan yang bersesuaian, iaitu tukang urut di Brickfields.

“Saya tahu bila buta, pergerakan menjadi terbatas, tapi saya tidak boleh menjadikannya sebagai alasan untuk melepaskan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
“Bermula daripada itu, saya menjadi tukang urut di situ dari 2005 sehingga 2016 dan di situ juga saya aktif dengan sukan, aktiviti pertama saya adalah merejam lembing,” katanya.

Pada mulanya, Hairul memikirkan yang dirinya akan menemui kegagalan apabila menjadi cacat, namun tidak menyangka apabila terpilih menjadi individu yang berpeluang mengharumkan nama negara.
“Saya memang tak pernah aktif dalam sukan sebelum ini, namun saya juga tak sangka yang saya akan terpilih untuk mewakili sukan ke peringkat Asean.
“Ia berlaku sangat pantas. Julai 2003 saya buta, Disember tahun yang sama saya dapat wakili negara dalam sukan lontar lembing di Sukan SEA di Vietnam. Allah uji saya seketika, tarik nikmat yang ada, kemudian Dia beri saya nikmat yang tidak terhingga,” ujarnya sambil mengalirkan air mata.

Dalam usaha ini, jelas Hairul lagi, isteri dan anak-anaknya sangat memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepadanya untuk meneruskan perjuangan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).
“Saya berkahwin dengan isteri selepas 4 tahun saya buta, kami berkawan sebelum saya kemalangan, mujur dia tidak tinggalkan saya dan sekarang saya ada 3 orang anak.
“Tidak dapat melihat wajah anak-anak saya merupakan perkara paling sedih dalam hidup, namun saya dapat rasakan yang wajah mereka sama seperti saya sebagai ayah kandung mereka.
“Saya tidak pernah mendengar keluhan daripada mereka yang mempunyai seorang bapa buta seperti saya, ” ujarnya lagi.
Menceritakan setiap kejayaan yang diraih selama bermain sukan boling, Hairul berkata, namanya mulai meningkat naik bermula 2017 apabila memenangi 4 pingat emas dalam acara individu campuran, duo dan trio lelaki campuran B1/B2/B3 (masalah penglihatan) Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017).
Ia termasuklah memenangi pingat emas pada temasya Sukan Para Asean Ke-8 di Singapura pada 2017.

“Siapa sangka yang buta inilah diberi peluang untuk merasai pergi ke 13 buah negara, membawa nama Malaysia. Saya tak kata sekarang saya lebih yakin, saya tetap ‘goyang’, tapi saya percaya pada rezeki yang Dia akan beri dan susun untuk kita.
“Kalau saya tidak buta, belum tentu saya dapat mewakili nama Malaysia untuk harumkan nama negara,” katanya.
Kini Hairul bersama pasukannya sedang giat menjalani sesi latihan untuk berentap pada Sukan SEA Paralimpik di Manila, Filipina bermula 20 Mac sehingga 28 Mac 2020.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]