Saya sedia disiasat Lembaga Disiplin Umno, kata Hishammuddin

Saya sedia disiasat Lembaga Disiplin Umno, kata Hishammuddin

Bekas naib presiden Umno itu bertegas beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, tetapi beliau sedia dipanggil Lembaga Disiplin jika siasatan itu dapat membantu Umno ke depan.

Hishammuddin Hussein berbual dengan ahli BN ketika beliau berkempen untuk parti di pekan Membakut hari ini.
KIMANIS:
Bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein sedia dipanggil Lembaga Disiplin parti atas dakwaan kesalahan membabitkannya.

Beliau bertegas tidak melakukan sebarang kesalahan dan menyerahkan kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi untuk menentukan jika beliau melanggar peraturan parti.

“Saya tak tahu (sama ada akan dipanggil Lembaga Disiplin) kerana ia bergantung kepada kepimpinan Umno. Saya ada cakap tiada apa nak disembunyikan dan jika mereka mahu siasat saya, mereka sudah buat.

“Siapa ahli jawatankuasa yang menyiasat bukan masalah saya. Mereka perlu bertindak bersama dan melantik siapa yang mereka mahu serta memutuskan sama ada panggil saya atau tidak.

“Jika mahu panggil saya, saya tiada masalah kerana saya rasa saya tidak buat salah,” katanya ketika berkempen untuk Barisan Nasional di pekan Membakut hari ini.

Sebelum ini, Hishammuddin dipanggil Lembaga Disiplin Umno berhubung dakwaan melanggar perlembagaan dan tataetika sebagai ahli Umno selepas Ahli Majlis Tertinggi, Lokman Noor Adam membuat laporan berhubung pertemuan sulit Hishammuddin dan sekumpulan ahli Parlimen Umno dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali pada 18 Nov lalu.

Lokman turut mendakwa Hishammuddin terbabit dalam menghasut pemimpin dan ahli Parlimen Umno menyertai PPBM pada Oktober tahun lalu.

Hishammuddin menafikan beliau merancang pertemuan itu dan bersedia disiasat parti.

Pada 26 Dis lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Mohamed Apandi Ali mengumumkan peletakan jawatannya dalam parti itu susulan campur tangan pimpinan parti membatalkan sesi perjumpaan lembaga itu dengan Hishammuddin untuk siasatan dan pengadilan tuduhan salah laku ke atasnya.

Ditanya jika Zahid ada mencampur tangan untuk “menyelamatkannya” daripada berdepan tindakan disiplin, Hishammuddin berkata: “Selamatkan saya? Saya kata saya tidak kisah, jadi saya tidak rasa ia ada isu, bukan isu peribadi.”

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, beliau hanya mahu Umno terus ke depan dan parti itu tidak boleh berkembang jika ia berdepan halangan seperti ini.

“Jika siasatan ini dapat bantu Umno ke depan, saya tiada apa nak sembunyi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.