Khalid optimis Pelan Pembangunan Kampung Baru dimuktamad Jun

Khalid optimis Pelan Pembangunan Kampung Baru dimuktamad Jun

Kerajaan mengumumkan harga tawaran baru pembelian tanah Kampung Baru sebanyak RM1,000 setiap 1 kaki persegi berbanding RM850 sebelum itu.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata, setakat ini 97% pemilik ditemui mengatakan kesediaan untuk menjual tanah mereka bagi memberi jalan kepada pelaksanaan Pelan Pembangunan Kampung Baru.
SHAH ALAM:
Kementarian Wilayah Persekutuan optimis Pelan Pembangunan Kampung Baru akan dapat dimuktamadkan pada Jun ini berdasarkan maklum balas diterima daripada kalangan pemilik tanah di kawasan itu.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, buat masa ini beliau mengarahkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru untuk melakukan perjumpaan secara berkumpulan dengan pemilik tanah berkenaan untuk berbincang mengenai isu yang berbangkit.

“Perjumpaan secara kumpulan kecil ini kita lakukan sejak awal bulan lepas dan sehingga kini kita telah berjumpa kira-kira 50% daripada 5,374 pemilik tanah di Kampung Baru.

“Daripada jumlah yang kita telah jumpa ini, 97% mengatakan kesediaan untuk menjual tanah mereka bagi memberi jalan kepada pelaksanaan Pelan Pembangunan Kampung Baru dan insyaAllah dalam masa 6 bulan nanti kita akan muktamadkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan isu pembangunan Kampung Baru, selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Perpaduan, Piala Khalid Samad di sini, hari ini.

Sebanyak 16 pasukan terdiri daripada pelbagai kaum menyertai kejohanan yang pertama kali dianjurkan oleh Amanah Shah Alam itu.

Khalid berkata, pihaknya bersedia dengan langkah-langkah yang perlu sekiranya gagal mendapat persetujuan 100% daripada pemilik tanah Kampung Baru.

“Bagaimanapun kita yakin dengan tawaran baru yang kita beri, kita akan mendapat persetujuan semua pemilik tanah,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan harga tawaran baru pembelian tanah Kampung Baru bernilai RM1,000 setiap 1 kaki persegi berbanding RM850 sebelum ini.

Bersandarkan harga baru itu, RM850 ditawarkan secara pulangan tunai, manakala baki RM150 berbentuk pegangan saham dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.