Timbalan menteri tunjuk bukti Pas Sementara Sabah idea BN

Timbalan menteri tunjuk bukti Pas Sementara Sabah idea BN

Azis Jamman membacakan minit mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah bertarikh 31 Julai 2015 dalam ceramah PRK Kimanis di Bongawan hari ini.

Azis Jamman berkata, mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah pada 31 Julai 2015 yang dipengerusikan Ahmad Zahid Hamidi dan Musa Aman mencadang dan mempersetujui IMM13, Kad Burung-burung serta Sijil Banci digabungkan sebagai Pas Residen Sabah.
KIMANIS:
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman membidas kenyataan Ahmad Zahid Hamidi yang menafikan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) ialah idea kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dalam satu ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis di Pekan Bongawan, di sini, Azis mengemukakan bukti penglibatan bekas timbalan perdana menteri itu dengan membacakan minit mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah, Bilangan 2/2015 bertarikh 31 Julai 2015.

Katanya, mesyuarat yang dipengerusikan Zahid dan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman itu dengan jelas mencadang dan mempersetujui pas residen dikoordinasikan.

“Dalam minit mesyuarat ini disebut dengan jelas cadangan pemerluasan pas residen kepada kategori-kategori yang disebutkan, iaitu pemegang IMM13, Kad Burung-burung dan Sijil Banci dikoordinasikan menjadi satu dokumen dipanggil Pas Residen Sabah.

“Mesyuarat juga bersetuju untuk dilaksanakan, cuma mereka (BN) cakap mereka tidak ada (pernah) umum dan laksanakan (sebelum ini). Ya memanglah (mereka tidak laksana) kerana mereka telah tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya.

Pada 9 Jan lalu, Zahid yang juga presiden Umno dan pengerusi BN dalam satu laporan berita menafikan dakwaan pelaksanaan PSS ialah idea kerajaan BN terdahulu.

September tahun lalu, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah bersetuju mengeluarkan PSS bermula 1 Jun tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan keputusan itu, berkata pelaksanaan PSS bagi menggantikan 3 dokumen dikeluarkan kepada warga asing yang tinggal lama di Sabah, iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-burung.

Katanya, pengeluaran PSS antara lain diharap dapat menyelesaikan isu kepelbagaian dokumen dan dapat memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan pergerakan warga asing oleh pihak berkuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.