Himpunan pertahan Jawi: Polis panggil 4 individu

Himpunan pertahan Jawi: Polis panggil 4 individu

Polis berkata, 2 lagi individu akan dipanggil untuk diambil keterangan kerana berhimpun tanpa kebenaran.

Media sebelum ini melaporkan 500 mahasiswa universiti awam mengadakan perhimpunan 1 Jan lepas bagi mempertahankan pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular, selain menggesa pengharaman Dong Zong. (Gambar Twitter)
KUALA LUMPUR:
Empat individu diambil keterangan berhubung penganjuran “Himpunan Bangkit Pertahankan Jawi Haramkan Dong Zong” pada 1 Jan lepas.

Tanpa mendedahkan tarikh dan nama mereka yang dipanggil, ketua polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata, pihaknya juga akan memanggil 2 lagi individu untuk diambil keterangan kerana berhimpun tanpa kebenaran.

Beliau berkata, pihaknya juga memandang serius tindakan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) yang menganjurkan perhimpunan itu kerana tidak mendapat kebenaran untuk berhimpun.

“Penganjur juga tidak memberi notis mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk berhimpun dan polis sedang menyiasatnya mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program keselamatan dan mencegah jenayah sempena acara “Kempen Kita” di Perumahan Awam Seri Perak, Sentul, di sini.

Media sebelum ini melaporkan 500 mahasiswa daripada universiti awam mengadakan perhimpunan pada tarikh tahun baru 2020 bagi mempertahankan pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular, selain menggesa pertubuhan pendidikan Cina iaitu Dong Zong diharamkan.

Perhimpunan itu juga diadakan susulan kritikan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang terhadap NGO itu.

Peserta perhimpunan itu berkumpul di Masjid Negara sekitar 2 petang sebelum berarak ke kompleks beli-belah Sogo, di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.