
Presidennya Soh Thian Lai berkata, peningkatan “akan mengurangkan kos untuk menjalankan perniagaan di sini.”
“Perlu diingat bahawa kira-kira 70% daripada barangan perantara untuk sektor pembuatan diimport dan kami mahu kerajaan membantu mengukuhkan ringgit,” katanya kepada pemberita pada majlis angkat sumpah Majlis FMM dan majlis makan malam di sini semalam.
Acara itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Turut bersetuju dengan Soh, bekas presiden FMM Dr Lim Wee Chai yang berkata, ringgit meningkat berbanding dolar AS daripada 4.2 kepada 4.1 dalam beberapa minggu ini.
“Bagaimanapun terdapat juga pengeksport dalam industri (pembuatan) dan industri lain. Justeru mata wang yang stabil merupakan penyelesaian yang terbaik untuk semua. Tidak terlalu kukuh dan tidak terlalu lemah.
“Saya fikir julat 3.8 hingga 4 adalah paras terbaik. Sebelum ini pada 3.8, ringgit mencatatkan prestasi yang amat baik untuk kebanyakan sektor,” katanya.
Soh berkata, bagi 2020 FMM akan mencuba untuk meningkatkan sektor pembuatan, menambah aktiviti dan mempunyai lebih banyak eksport, selain membawa masuk lebih banyak pendapatan.
Terdahulu dalam ucapan Soh berkata, “kepada YB, kerajaan memberi kami belanjawan yang baik, kami memberikan keputusan yang baik”, sambil memberi jaminan FMM akan meningkatkan kebolehpasaran dalam negara dan melalui Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) meningkatkan kumpulan B40 ke arah status berpendapatan tinggi.
FMM turut menggesa kerajaan menimbangkan semula langkah untuk menggerakkan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Asean-EU atau FTA Malaysia-EU dan meneliti semula Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).