Patriot sambut baik langkah SPRM dedah rakaman audio

Patriot sambut baik langkah SPRM dedah rakaman audio

Arshad juga menggesa pihak berkuasa supaya memberi tumpuan kepada usaha pembinaan negara dan pengukuhan ekonomi.

Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata, tindakan SPRM sepatutnya dipuji, bukan dihina.
PETALING JAYA:
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mengalu-alukan pendedahan rakaman audio didakwa melibatkan Najib Razak dan beberapa individu berkait 1MDB dan SRC Internatonal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan berkata, langkah itu sepatutnya dipuji, bukannnya dihina.

Presidennya Mohamed Arshad Raji ketika memberi respons terhadap pendedahan rakaman audio itu oleh ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya pada Rabu berkata, beliau mahu tindakan dan siasatan segera dijalankan berhubung rakaman perbualan telefon itu.

Beliau berkata, Patriot maklum bahawa tindakan Latheefa mendedahkan rakaman itu berkemungkinan sub judice dan bertentangan dengan kedaulatan undang-undang, “tetapi episod terbaru ini tidak menambah apa-apa kepada perbicaraan melalui media berbanding keadaan sedia ada”.

“Rakyat juga keletihan dalam mengikuti kes mahkamah berkaitan 1MDB, sementara banyak lagi kes belum dibawa ke mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang di pihak Latheefa, maka “ia terserah kepada keputusan hakim, sekiranya perlu”.

“Patriot berpendapat, tindakan ketua pesuruhjaya SPRM dan pasukannya yang berdedikasi mendedahkan rakaman perbualan telefon itu sepatutnya dipuji, bukan dihina.

“Kami diberitahu, perdana menteri sendiri tidak dimaklumkan mengenai sidang akhbar tersebut. Ia adalah langkah positif ke arah menginstitusikan SPRM sebagai badan yang benar-benar bebas,” katanya.

Arshad juga menggesa pihak berkuasa supaya memberi tumpuan kepada usaha pembinaan negara dan pengukuhan ekonomi.

“Kita perlu menambah pekerjaan dan aras pendapatan. Kualiti dan standard kehidupan juga perlu ditingkatkan. Banyak yang perlu dilakukan.

“Semoga Tahun Tikus pada tahun ini mengundang kelahiran Malaysia yang harmoni, sejahtera dan progresif, yang juga merupakan wawasan Patriot,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.