Kerajaan kekalkan Proton Perdana untuk menteri, timbalan

Kerajaan kekalkan Proton Perdana untuk menteri, timbalan

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pembekal mengesahkan kereta Proton Perdana mencukupi untuk kegunaan rasmi.

PUTRAJAYA:
Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengesahkan kerajaan akan terus menggunakan Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi menteri-menteri Kabinet dan timbalan.

Lim berkata syarikat pembekal pada mulanya mencadangkan Toyota Vellfire sebagai salah satu pilihan kenderaan rasmi.

“Kita nak kekalkan perdana tapi syarikat pada mulanya kata yang ada tidak cukup untuk menteri-menteri dan timbalan,” katanya pada sidang media selepas acara bersama kakitangan Kementerian Kewangan hari ini.

“Kita baru dapat pengesahan bahawa kereta Proton Perdana mencukupi, jadi sekarang kita kekalkan.”

Beliau berkata jawatankuasa Kabinet sudah menganugerahkan kontrak dan akan menamakan pembekal itu tidak lama lagi.

Baru-baru ini dilaporkan menteri-menteri Kabinet dan pegawai-pegawai kanan kerajaan masing-masing akan diberi Toya Vellfire dan Honda Accord sebagai kenderaan rasmi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan akan melantik sebuah syarikat baru untuk membekalkan kenderaan berkenaan, selepas konsesi 25 tahun dengan Spanco Sdn Bhd tamat tahun lepas.

Dalam perkembangan lain, Lim berkata akan berlaku kesan berganda pada perbelanjaan belanjawan tahun ini.

Ini kerana terdapat kelewatan dalam pengagihan peruntukan Belanjawan 2019 kepada beberapa agensi di beberapa kementerian, oleh itu dana bagi Belanjawan 2019 dan 2020 akan dibelanjakan tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.