
Mahathir berkata, tuduhan itu dibuat pihak yang enggan menerima realiti dan hakikat bahawa kerajaan sekarang tidak seperti kerajaan terdahulu.
“Adakah kita sama dengan kerajaan sebelum ini, atau mereka lebih suka kepada kerajaan kleptokrat dan lebih baik?” katanya menerusi catatan blog, hari ini.
Menurutnya, ekonomi negara masih berkembang pada kadar baik bagi sebuah negara membangun, walaupun terdapat aliran dana keluar dan kadar mata wang menurun.
Bagi Mahathir, Malaysia masih mempunyai simpanan yang besar, seperti rizab Bank Negara Malaysia yang lebih RM400 bilion.
“Dana lain, seperti Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan beberapa dana kecil lain berjumlah lebih RM1.5 trilion. Aset luar negara juga besar.
“Manakala, syarikat minyak negara, Petronas berada di kedudukan baik dengan pendapatan lebih RM100 bilion. Ia 100% milikan kerajaan,” katanya.
Jelasnya, tidak dinafikan nilai ringgit menurun, namun seperti di kebanyakan negara lain, saiz rizab negara akan menentukan kekuatan mata wang negara.
Walaupun pasaran dan pengkritik tidak percaya ekonomi dan mata wang Malaysia kuat, kerajaan meyakini dasar-dasar kewangan dan ekonominya.
“Begitu juga pelabur asing dan tempatan,” katanya.
Mahathir berkata pengkritik juga tidak melihat Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama sebagai hala tuju yang jelas.
“Tetapi bagi kerajaan, ini merupakan satu hala tuju yang jelas. Kita tidak mahu sekadar memulihkan dan memakmurkan negara tetapi mahu berkongsi kekayaan yang kita perolehi sama rata,” katanya.
Disebabkan itu, Mahathir meminta kerajaan PH diberi sedikit masa untuk melaksanakan Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama yang diperkenalkan pada Oktober tahun lalu.
“Dalam tempoh 2 tahun, anda akan sedar hala tuju kerajaan adalah betul.”