
Katanya, video itu tidak mendatangkan kesan kepada negara dan mendakwa ia adalah cubaan memfitnah Azmin yang juga timbalan presiden PKR.
“Ia tiada kesan ke atas kewangan negara, ia tidak membabitkan dana awam atau sebarang pertukaran dasar,” katanya kepada FMT sambil menambah ia hanya membazirkan masa polis.
“Sekarang Azmin sudah bersih daripada tuduhan itu, kita patut teruskan hidup.”
Beliau berkata, peguam negara membuat keputusan itu selepas siasatan polis selama beberapa bulan dan tiada pihak yang patut berasa tidak puas hati dengannya.
“Saya gembira ia berlaku cara ini kerana ia menjadi gangguan tidak perlu buat seketika. Menteri itu boleh memfokuskan kerjanya, manakala rakyat boleh menggunakan tenaga mereka untuk menyelesaikan masalah penting yang menjejaskan negara.
Terdahulu, Peguam Negara, Tommy Thomas mengumumkan tiada pendakwaan akan dilakukan terhadap mana-mana pihak terbabit dalam video seks sejenis yang tersebar tahun lalu kerana pihak berkuasa gagal mengenal pasti identiti 2 lelaki dalam video itu.
Pada 12 Jun tahun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengejutkan negara dengan mengaku dirinya ialah seorang daripada individu dalam klip video yang menunjukkan 2 lelaki sedang mengadakan hubungan seks sejenis.
Beliau turut menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam video itu, tetapi dinafikan Azmin yang menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani yang juga penyokong kuat Anwar, ketika dihubungi FMT berkata, beliau tiada komen berhubung perkara itu.
Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin pula berkata, beliau akan membuat kenyataan kemudian.