
Bercakap kepada FMT, jurucakap Kumpulan Bertindak Rakyat terhadap Kehilangan Paksa (CAGED) dan Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) berkata, mereka percaya kerajaan membuat keputusan tidak bijak dengan menamatkan kontrak anggota suruhanjaya itu Okt lepas.
Rama Ramanathan yang mewakili CAGED berkata, kerajaan kelihatan terlalu yakin bahawa Dewan Negara akan meluluskan rang undang-undang bagi membolehkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
“Ia mengandaikan dewan tersebut akan menerima cadangan itu dengan mudah,” katanya.
Bulan lepas, Dewan Negara memutuskan untuk menangguhkan keputusannya berkait rang undang-undang IPCMC hingga ke persidangan pada Mac depan.
Rama berkata, Putrajaya sepatutnya mengekalkan pelantikan pesuruhjaya SIAP.

Kontrak 3 tahun 6 pesuruhjaya SIAP, iaitu Abdul Aziz Abdul Rahim, Leong May Chan, Lee Sow Siong, Sabariah Hassan, James Nayagam dan Abang Ekhsan Othman ditamatkan lebih awal pada Okt tahun lepas.
Mereka menerima surat menyatakan kontrak mereka berakhir pada 30 Sept. Salah satu surat itu yang dilihat oleh FMT tidak mengandungi penjelasan mengenai penamatan kontrak tersebut.
SIAP diberi kuasa untuk menyiasat dan mengadakan pendengaran berhubung aduan terhadap polis dan agensi penguatkuasaan lain. Ia tidak dimansuhkan, tetapi Rama berkata, ia tidak dapat menjalankan fungsinya tanpa pesuruhjaya.
Beliau menggesa supaya pesuruhjaya baru dilantik bagi meneruskan tugas suruhanjaya berkenaan.
Dalam pada itu setiausaha agung Hakam Lim Wei Jiet berkata, beliau bimbang pemberhentian tugas suruhanjaya tersebut akan menyebabkan berlakunya longgokan kes.
“Kerajaan perlu melantik individu sesuai sebagai pesuruhjaya bagi meastikan tugas SIAP tidak tergendala,” katanya.