
Zuraida yang merupakan sekutu Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, difahamkan tiba lebih awal untuk menghadiri mesyuarat parti itu.
Terdahulu, seorang pegawai PKR memberitahu FMT hari ini, tekanan dalam parti semakin bertambah untuk memecat Zuraida atas dakwaan beliau menghina ahli parti dan mendedahkan butiran dikatakan perbualannya dengan Presidennya, Anwar Ibrahim.
Katanya, perkara itu mungkin dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR pada 18 Jan ini.
Ketika berucap dalam satu majlis makan malam anjuran Azmin pada 8 Dis lalu, Zuraida mendakwa Anwar cuba meyakinkan beliau yang salah seorang lelaki dalam video seks sejenis yang tersebar Jun tahun lalu ialah Azmin.
Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu turut mendakwa penilaian Anwar dilihat terjejas akibat pengaruh “budak pampers” dan “gengster” dalam parti yang merujuk Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil serta Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Sebelum ini, Azmin dan Zuraida tidak menghadiri mesyuarat parti walaupun berkali-kali ditegur berbuat demikian.