Sayang, awak perdana menteri, Rosmah gesa Najib lebih tegas dalam skandal 1MDB

Sayang, awak perdana menteri, Rosmah gesa Najib lebih tegas dalam skandal 1MDB

Rosmah Mansor meminta Najib Razak membuat kenyataan lebih tegas dan tidak 'slow down' bagi mengelakkan mereka kelihatan seolah-olah bersalah dan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Abu Kassim Mohamed seperti hero.

Najib Razak memberitahu Rosmah Mansor, beliau sudah menandatangani surat pelantikan Dzulkifli Ahmad sebagai pengganti Abu Kassim Mohamed.
PUTRAJAYA:
Sembilan rakaman audio yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini antaranya merangkumi perbualan telefon Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor berkaitan skandal 1MDB.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, perbualan itu dirakamkan pada 27 Julai 2016, kira-kira seminggu selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan tuntutan untuk mendapatkan kembali lebih AS$1 juta yang didakwa diseleweng dari dana 1MDB.

Dalam rakaman itu, Rosmah menasihatkan Najib menangani siasatan kes 1MDB lebih tegas kerana beliau ialah perdana menteri.

Beliau turut meminta Najib membuat kenyataan lebih tegas dan tidak “slow down” seperti dinasihatkan pegawai di pejabatnya bagi mengelakkan mereka kelihatan seolah-olah bersalah dan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Abu Kassim Mohamed seperti hero.

“Boleh saya nasihat sesuatu. Kamu jangan, dengar cakap saya, mereka beritahu kamu untuk jaga Abu Kassim Mohamed. Dia banyak membuat kenyataan, ambil gambar dengan Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) apa semua.

“Mereka buatnya, jadikannya seperti hero dan kamu pula jadi penjahat. Dan semua 5 orang ini, bolehkah mereka lihat keutamaan mereka adalah kamu, bukan orang lain,” katanya memulakan perbualan dengan Najib.

“Saya tak suka macam ini. Sayang, awak perdana menteri, awak patut uruskan, bukan orang lain okey.”

Bekas perdana menteri itu berkata: “Ya, saya faham.”

Rosmah menyambung perbualan itu dengan berkata: “Orang dungu di keliling awak.”

Najib kemudiannya berkata, beliau sudah menangani perkara itu dengan “benarkan Azwan buat kenyataan dan impaknya dah bagus dah”.

Latheefa dalam sidang media di ibu pejabat SPRM hari ini berkata, Azwan yang dimaksudkan dalam perbualan itu merujuk bekas naib ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun.

Terdahulu, dalam rakaman itu, Najib memberitahu Rosmah, beliau menandatangani surat pelantikan Dzulkifli Ahmad sebagai pengganti Abu Kassim.

SPRM mendedahkan 9 rakaman audio dikatakan antara Najib dan Rosmah, Dzulkifli dan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan.

SPRM berkata, individu lain yang terbabit dalam perbualan itu ialah bekas peguam negara, Abdul Gani Patail dan Mohamed Apandi Ali, Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Rahim, bekas pengarah SRC International, Suboh Md Yassin, bekas ketua pegawai eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Shamsul Anwar Sulaiman dan bekas pengarah kewangan Ihsan Perdana, Abdul Aziz Ismail serta seorang individu bernama “Tan Sri Shukri”.

Selain putera mahkota UAE, warga asing lain yang terbabit ialah Presiden UAE, Khalifa bin Zayed Al Nahyan, Pengerusi IPIC, Sheikh Mansour bin Zayed al Nahyan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Development Company dari Abu Dhabi, Khaldoon Al-Mubarak.

Anak tiri Najib, Riza Aziz dan bekas pegawai khasnya, Amhari Efendi Nazaruddin turut dinamakan SPRM.

SPRM berkata, klip audio itu ialah rakaman panggilan telefon antara Najib, pegawai kerajaan dan 2 individu dari UAE antara 5 Jan hingga 29 Julai 2016 yang menunjukkan seolah-olah wujud konspirasi untuk memanipulasi maklumat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.