Putrajaya setuju tubuh jawatankuasa aduan tangani salah laku agensi penguatkuasaan

Putrajaya setuju tubuh jawatankuasa aduan tangani salah laku agensi penguatkuasaan

Perdana menteri berkata, jawatankuasa aduan itu dan polis akan memantau 20 agensi penguatkuasaan.

Dua puluh agensi penguatkuasaan itu termasuk Jabatan Imigresen, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Buruh serta JPJ. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan bersetuju secara dasar menubuhkan sebuah jawatankuasa aduan bagi menangani salah laku 20 agensi penguatkuasaan, selain polis.

Perdana menteri berkata, jawatankuasa aduan itu akan memantau agensi itu bersama polis.

katanya, ini akan dilaksanakan jika Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang memantau semua agensi penguatkuasaan digantikan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

“Kerajaan mengambil perhatian isu berhubung pemantauan 20 agensi penguatkuasaan di Malaysia jika EAIC dinaik taraf kepada IPCMC,” katanya selepas mempengerusikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-rasuah di sini, hari ini.

Tidak seperti IPCMC yang hanya menangani aduan mengenai polis, EAIC diberikan kuasa untuk mengendalikan aduan hampir membabitkan semua agensi penguatkuasaan, seperti Jabatan Imigresen, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Buruh serta Jabatan Pengangkutan Jalan.

Pengkritik sebelum ini berkata, Rang Undang-undang IPCMC memberi kuasa siasatan kurang berbanding EAIC, khasnya dari segi serbuan dan rampasan serta kuasa untuk mengadakan pendengaran awam.

RUU IPCMC dibentangkan untuk bacaan pertama pada 18 Julai tahun lalu dan akan dibentangkan untuk bacaan ke-2 dan ke-3 pada Mac nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.