Penumpang serang, rompak pemandu wanita Grab

Penumpang serang, rompak pemandu wanita Grab

Suspek mencuri beberapa barang milik wanita berusia 59 tahun itu dan melarikan diri dengan Perodua Myvi mangsa, selepas meninggalkannya di tepi jalan.

Hidung mangsa berdarah selepas dipukul di muka dan belakang kepala oleh penumpang lelaki.
KOTA KINABALU:
Seorang pemandu wanita Grab cedera di kepala dan muka selepas diserang seorang penumpang yang merompaknya di Kinarut, dekat sini hari ini.

Wanita berusia 59 tahun itu dikatakan mengambil penumpang lelaki itu di Inanam sekitar tengah hari tadi.

Difahamkan, lelaki itu menempah perjalanan ke Karamunsing, tetapi kemudiannya meminta mangsa menghantarnya ke Kinarut.

Sumber berkata, setibanya di Kinarut, lelaki itu tiba-tiba memukul muka dan belakang kepala mangsa, sebelum melarikan diri dengan Perodua Myvi wanita terbabit.

Menurut sumber, suspek turut mencuri beberapa barang milik mangsa dan meninggalkannya di tepi jalan.

Penduduk kampung yang menemui wanita itu dengan hidungnya berdarah, segera menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Papar, Batholomew Umpit mengesahkan kejadian itu dan berkata, mangsa dihantar ke hospital daerah untuk dirawat.

Katanya, polis sedang memburu suspek itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.