Baru sekarang saya faham perasaan Hang Tuah, kata Maszlee

Baru sekarang saya faham perasaan Hang Tuah, kata Maszlee

Bekas menteri pendidikan itu berkata, Hang Tuah menghargai banyak peluang yang diberikan raja kepadanya, bukannya apa yang berlaku ketika itu.

Maszlee Malik meletak jawatan menteri pendidikan pada 2 Jan lalu.
PUTRAJAYA:
Maszlee Malik berkata, beliau hanya memahami perasaan Hang Tuah selepas dinasihatkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad untuk melepaskan jawatan menteri pendidikan.

“Saya waktu terima surat Tun minta saya letak jawatan, waktu itu saya kata eh, baru aku faham perasaan Hang Tuah sekarang.

“Maksud Hang Tuah ini, dia tidak lihat apa yang berlaku itu, dia lihat selama ini raja bagi dia peluang banyak.

“Kalau raja tak bagi peluang, tak ada peluang perintah Melaka, lawan lanun dan nak berjasa,” katanya dalam sebuah video yang dimuat naik seorang pengguna Twitter dikenali sebagai azmyklanajaya.

Video selama 57 saat itu menunjukkan Maszlee sedang bercakap dengan beberapa individu selepas melepaskan jawatannya.

Maszlee ketika mengumumkan peletakan jawatannya pada 2 Jan lalu berkata, beliau berbuat demikian atas nasihat Mahathir.

Pada 4 Januari lalu, Maszlee menyifatkan keputusan “memulangkan” jawatan menteri pendidikan itu mempunyai hikmah tersendiri buat dirinya dan penduduk di Simpang Renggam.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, beliau tidak sedih atau marah dengan tindakan Mahathir menasihatkannya “memulangkan” jawatan itu.

Hang Tuah ialah pahlawan zaman pemerintahan Kesultanan Melaka pada abad ke-15.

Laksamana kerajaan Melayu Melaka itu taat kepada rajanya, khasnya ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah pada abad ke-15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.