25 peniaga di Kuantan didenda RM250 papan perniagaan tiada tulisan Jawi

25 peniaga di Kuantan didenda RM250 papan perniagaan tiada tulisan Jawi

Pegawai Majlis Perbandaran Kuantan berkata, kompaun itu melibatkan premis di sekitar bandar dan kawasan perindustrian Batu 3 serta Padang Lalang di Kuantan.

Arahan memasang papan perniagaan bertulisan Jawi di Kuantan berkuat kuasa 1 Jan lepas, selepas pihak berkuasa memberi tempoh persediaan setahun kepada peniaga.
KUANTAN:
Seramai 25 pemilik premis perniagaan di daerah ini dikompaun RM250 kerana gagal mempamerkan tulisan Jawi pada papan perniagaan mereka.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal berkata, kompaun itu melibatkan premis di sekitar bandar dan kawasan perindustrian Batu 3 serta Padang Lalang di sini.

“Tindakan kompaun dibuat selepas arahan memasang papan tanda tulisan Jawi mula berkuat kuasa 1 Jan lepas dan tindakan itu diharap memberi kesedaran kepada pemilik premis untuk mematuhi arahan.

“Malah, tempoh masa sewajarnya sudah diberi kepada pemilik premis untuk menambah tulisan Jawi pada papan tanda perniagaan mereka, iaitu selama setahun,” katanya kepada pemberita hari ini.

Norkamawati berkata, antara alasan yang sering diterima berhubung kegagalan mematuhi arahan itu adalah tempoh yang diberikan terlalu singkat, selain belum menerima tulisan Jawi yang sudah ditempah.

Katanya, premis perniagaan yang dikompaun hari ini diberikan 3 bulan untuk mempamerkan tulisan Jawi pada papan perniagaan mereka atau berdepan tindakan yang lebih tegas.

“MPK memohon semua pemilik premis perniagaan bekerjasama dengan mematuhi arahan itu. Jika mereka masih gagal memasang (papan perniagaan) tulisan Jawi, mereka bukan hanya boleh dikenakan kompaun, tetapi lesen perniagaan juga boleh dibatalkan.”

Arahan memasang papan tanda bertulisan Jawi di premis perniagaan Pahang berkuat kuasa 1 Jan lepas, selepas tempoh persediaan yang pada awalnya dijadualkan tamat pada Jun 2019 dilanjutkan sehingga 31 Dis lalu.

Arahan itu sejajar titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga Sultan Pahang supaya penggunaan tulisan Jawi diperkasakan di negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.