Permohonan Shahrir, Ahmad Maslan batal kompaun SPRM didengar 26 Feb

Permohonan Shahrir, Ahmad Maslan batal kompaun SPRM didengar 26 Feb

Shahrir Abdul Samad, Ahmad Maslan dan Puteri Umno memohon mahkamah membatalkan keputusan SPRM mengeluarkan kompaun itu serta melarang ia menguatkuasakan kompaun atau meneruskan pendakwaan terhadap mereka.

Pemimpin Umno, Shahrir Abdul Samad (kiri) dan Ahmad Maslan antara 80 individu serta entiti yang menerima notis kompaun daripada SPRM atas dakwaan menerima RM420 juta dipercayai daripada 1MDB.
KUALA LUMPUR:
Permohonan kebenaran semakan kehakiman bekas pengerusi Felda, Shahrir Abdul Samad, Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan dan satu lagi pihak bagi membatalkan notis kompaun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan menerima dana 1MDB akan didengar 26 Feb ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Nordin Hassan menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes di kamarnya hari ini yang dihadiri peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman dan Mohd Haziq Razali mewakili ketiga-tiga pemohon serta Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambali mewakili ketua pesuruhjaya SPRM dan SPRM selaku responden.

Shahrul mengesahkan tarikh itu ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes.

Shahrir, Ahmad dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Sumali Reduan yang bertindak bagi Puteri Umno, memfailkan permohonan semakan kehakiman itu secara berasingan menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq antara November hingga Disember lalu.

Dalam permohonan itu, ketiga-tiga pemohon memohon pengisytiharan keputusan dan tindakan SPRM mengeluarkan kompaun kepada mereka melalui “Tawaran Untuk Mengkompaun Kesalahan” bertarikh 7 Okt 2019 sebagai ultra vires, tidak sah, batal dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Ketiga-tiga pemohon juga memohon perintah membatalkan keputusan dan tindakan itu, selain perintah melarang SPRM menguatkuasakan kompaun berkenaan atau meneruskan pendakwaan terhadap mereka.

Turut dimohon pengisytiharan kenyataan ketua pesuruhjaya SPRM pada sidang media berhubung keputusan mengeluarkan notis kompaun terhadap ketiga-tiga pemohon atas alasan untuk mendapatkan semula dana 1MDB yang dikatakan wang rakyat adalah pramatang, salah tanggapan dan salah guna jawatan awam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dalam sidang media 7 Okt lalu berkata, SPRM mengeluarkan notis kompaun kepada 80 individu dan entiti yang menerima RM420 juta dipercayai daripada 1MDB.

Katanya, 9 individu dan 71 entiti yang terdiri daripada 23 syarikat, 43 organisasi politik dan 5 yayasan serta organisasi menerima wang daripada akaun bekas perdana menteri, Najib Razak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.