Ketepi perbezaan dan perasaan peribadi, PM beritahu penjawat awam

Ketepi perbezaan dan perasaan peribadi, PM beritahu penjawat awam

Perdana menteri berharap menteri dan penjawat awam membuat azam tahun baru yang bukan hanya memberi manfaat kepada diri, tetapi juga negara.

Dr Mahathir Mohamad menghadiri perhimpunan bulanan pertama tahun ini bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana Putrajaya hari ini.
PUTRAJAYA:
Dr Mahathir Mohamad mengingatkan menteri dan penjawat awam supaya mengetepikan perbezaan dan perasaan peribadi untuk Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2030.

Perdana menteri juga berharap penjawat awam membuat azam tahun baru yang bukan saja memanfaatkan diri, tetapi akan menjayakan negara juga.

“Saya harap kita semua sambut tahun baru ini dengan resolusi yang bukan hanya memberi manfaat kepada diri sendiri, tetapi kepada negara juga.

“Resolusi untuk negara jayakan negara kita supaya boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah (dengan negara maju),” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan pertama tahun ini bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Beliau berkata, jentera kerajaan dan menteri memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

“Kita sudah perkenalkan dasar baru, iaitu dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Kita bukan saja menyatakan wawasan ini, tetapi kita harus melaksanakan.

“Untuk ini banyak kerja perlu dilakukan oleh kedua-dua pihak, iaitu kerajaan yang memimpin rakyat dan jentera kerajaan. Kerjasama amat penting kalau ingin lihat kejayaan.”

Katanya, semua pihak perlu bekerja lebih gigih supaya Malaysia tidak dipandang hina orang lain kerana tidak mampu mentadbir dan membangunkan negara.

“Saya berharap semua pihak tumpukan kepada negara, bukan diri sendiri. Ya, memang kita kerja untuk dapat pendapatan tertentu, tetapi itu hanya sebahagian tanggungjawab kita.

“Lebih utama kejayaan kerja kita bukan saja penuhi masa, tetapi memenuhi masa dengan kerja-kerja yang menyumbang kepada pembangunan negara.”

Negara perlu orang kaya

Mahathir berkata, negara memerlukan orang kaya kerana mereka membayar cukai tinggi kepada kerajaan.

“Kadang-kadang ratusan juta dibayar kepada kerajaan dan wang ini diguna untuk bayar gaji kita semua dan digunakan untuk bangunkan negara.”

Beliau berkata, hanya produktiviti orang miskin dapat mengatasi masalah kemiskinan di negara ini, bukannya bergantung kepada bantuan atau subsidi kerajaan.

“Kemiskinan akan berterusan. Kenapa miskin? Sebabnya ialah tak produktif dan tidak menyumbang sesuatu kepada masyarakat.

“Memang ada yang tidak mampu, tidak boleh, tidak ada kemahiran dan pengetahuan.

“Semua boleh diatasi kalau sanggup belajar membuat sesuatu, bukan saja buat kerja, tetapi cara-cara, sikap dan tugas kita mesti ikhlas, pegang segala amalan baik, jangan tipu sama sekali, jangan terlibat dengan rasuah kerana rencatkan kejayaan negara kita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.