
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata sepanjang tempoh 5 hari penguatkuasaan itu, sebanyak 29,903 buah premis tempat makan diperiksa.
“Daripada 2,312 notis kesalahan tersebut, 1,702 notis dikeluarkan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 iaitu kesalahan merokok di tempat makan.
“400 notis kesalahan di bawah Peraturan 12(1)(a) iaitu pemilik premis gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan 92 notis kesalahan di bawah Peraturan 12(1)(b) iaitu pemilik premis menyediakan kemudahan merokok,” katanya.
Noor Hisham berkata KKM juga mengeluarkan sejumlah 118 notis kesalahan di bawah Peraturan 13(1) iaitu larangan merokok dan sebagainya kepada golongan di bawah umur 18 tahun.
Beliau berkata sepanjang tempoh penguatkuasaan itu juga, jumlah notis kesalahan yang dikeluarkan pegawai penguatkuasa berkurangan daripada 708 notis pada hari pertama kepada 393 pada hari ke-2 dan 366 pada hari ke-3.
Hisham bagaimanapun berkata jumlah tersebut meningkat pada hujung minggu lalu dengan 404 notis kesalahan dikeluarkan pada 4 Jan dan 441 pada 5 Jan.
Dalam pada itu beliau berkata penguatkuasaan yang dijalankan selama 5 hari itu menunjukkan penurunan kepada keseluruhan notis kesalahan yang dikeluarkan.
Bagaimanapun kata beliau, pihak KKM masih menerima aduan kesalahan merokok melibatkan 1,039 tempat makan sejak penguatkuasaan penuh dijalankan.
“Kesemua aduan yang diterima sedang dalam tindakan pegawai penguatkuasa dan pihak KKM mengucapkan ribuan terima kasih atas keperihatinan dan kerjasama masyarakat dalam memastikan larangan merokok ini dipatuhi.
“Kerjasama yang diberikan oleh semua pemilik premis juga sangat memberangsangkan dan diharapkan kerjasama ini dapat diteruskan,” katanya.
Hisham menegaskan larangan merokok bukan bertujuan menghukum golongan perokok tetapi bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok kepada golongan perokok dan masyarakat sekeliling.
“Pihak KKM akan sentiasa membantu golongan perokok untuk berhenti merokok.
“Pendaftaran ke perkhidmatan berhenti merokok mQuit boleh dibuat melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau hubungi talian 03-8883 4400,” katanya.