
Piagam Umno-PAS
Umno dan PAs memeterai piagam politik bersejarah pada November, merasmikan kerjasama antara 2 parti politik Melayu-Islam terbesar selepas berseteru selama berdekad-dekad. Pemerhati percaya pakatan itu mampu mencabar kerajaan pimpinan Pakatan Harapan, yang dibina atas janji-janji reformasi dan libat urus pelbagai budaya.
BN menang berturut-turut
Barisan Nasional (BN) kembali bergaya dengan kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai pada November, merampas kembali kerusi Parlimen itu daripada PH hanya 18 bulan selepas kemenangan tipis pada PRU-14.
Calon BN, Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi, kemenangan PRK ke-4 BN pada 2019 selepas kejayaan gabungan itu di Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih dan Rantau.
‘Bossku’ lonjak populariti Najib
Gelaran “Bossku” bekas perdana menteri Najib Razak cepat tersebar di media sosial pada suku pertama tahun ini, menjadikan usahanya untuk kekal relevan dalam politik sesuatu yang sentiasa mengganggu kerajaan PH. Jelajahnya ke serata negara untuk kempen BN disambut dengan sokongan meluas meskipun berdepan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.
Gandingan 2 Wee di Parlimen
Kematian mengejut wakil rakyat PPBM, Mohamed Farid Md Rafik pada September menyebabkan kekosongan di Parlimen Tanjung Piai, Johor. Calon BN, Wee Jeck Seng dari MCA menang pilihan raya kecil itu pada November, menambah bilangan wakil rakyat MCA di Dewan Rakyat menjadi 2 orang, bersama Presiden Wee Ka Siong mewakili Ayer Hitam.
Jeck Seng pernah menjadi ahli Parlimen 2 penggal di Tanjung Piai dan Adun Pekan Nenas selama 1 penggal.
Dakwaan terbaru terhadap Anwar
Presiden PKR, Anwar Ibrahim dituduh melakukan serangan seksual oleh bekas pembantu, Muhammed Yusoff Rawther pada awal Disember. Bekas timbalan perdana menteri itu menafikan dakwaan-dakwaan itu. Polis memanggil kedua-dua pihak untuk diambil keterangan berhubung dakwaan serangan itu, yang Yusoff dakwa berlaku di rumah Anwar tahun lepas.
Anwar disabit kesalahan liwat pada 2014 tetapi mendapat pengampunan diraja pada 2018 selepas pilihan raya umum.
Azmin dituduh melakukan hubungan sejenis
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin ali terpalit skandal seks pada Jun dengan kemunculan video seseorang miripnya di atas katil bersama bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz. Ketika Haziq mengaku dia salah seorang daripada lelaki dalam video itu, Azmin sekeras-keras menafikannya, mengatakan video itu untuk mencemar imejnya dan merosakkan kerjaya politiknya.
Perang saudara PKR
Kongres nasional PKR dicemari pergaduhan antara 2 kumpulan pemuda parti itu, diburukkan lagi dengan tindakan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Zuraida Kamaruddin meninggalkan kongres itu bersama ratusan ahli kerana ucapan perwakilan yang digambarkan sebagai “provokatif”.
Tian Chua boleh bertanding pilihan raya
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November mengisytiharkan Naib Presiden PKR, Tian Chua boleh bertanding pada pilihan raya akan datang, lebih setahun selepas dihalang mempertahankan Parlimen Batu. Walaupun Tian Chua hilang kelayakan untuk bertanding pada PRU-14 kerana denda RM2,000 atas dakwaan menghina seorang anggota polis, beliau menyokong pencalonan P Prabakaran di Batu.
Rafizi umum tinggalkan politik
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengumumkan beliau meninggalkan politik awal bulan ini untuk tumpu kepada syarikat pemula yang mahu menangani pengangguran menerusi kecerdasan buatan (AI). Beliau dibebaskan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menterbalikkan pensabitannya daripada dakwaan mendedahkan butiran akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation dan pengerusinya, Salleh Ismail.
PPBM lebar sayap ke Sabah
Pada April, Dr Mahathir Mohamad melancarkan PPBM di Sabah, yang dielakkan pada PRU-14, disebalik kebimbangan Warisan, sekutu PH di Sabah. Lebih 30,000 orang membanjiri majlis pelancaran PPBM Sabah, termasuk beberapa pemimpin pembangkang Sabah. Pemimpin Warisan tidak kelihatan.