
“Mohon Ramasamy baca Kad Laporan yang KPM telah keluarkan 3 minggu lalu. Jika tak tahu nak baca di mana, boleh tekan link (https://www.moe.gov.my/pemberitahuan/banner/pencapaian-kpm-2019) ini,” katanya ringkas kepada FMT sebagai respons terhadap kenyataan Ramasamy hari ini.
Terdahulu, Ramasamy yang juga timbalan ketua menteri II Pulau Pinang dalam kenyataan berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) kekurangan kepimpinan dan kedinamikan dalam melakukan reformasi di universiti awam.
Kenyataannya itu susulan soalan dalam kertas peperiksaan modul Hubungan Etnik Universiti Malaysia Perlis (UMP) yang merujuk penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik sebagai “ikon dunia Islam”.
Soalan peperiksaan itu menjadi tular selepas Naib Presiden MIC Sivarraajh Chandran memuat naik tangkap layarnya di Facebook semalam.
Ramasamy berkata isu tersebut bukan mengenai Naik, tetapi lebih kepada “keadaan menyedihkan bagi universiti awam”.
Insiden itu, katanya, memberi gambaran tidak baik kepada situasi pengetahuan akademik, pensyarah, kandungan kursus dan sifat semulajadi universiti awam.
Katanya lagi, ia juga menonjolkan ketidakupayaan PH membangunkan institusi-institusi pengajian tinggi itu daripada “tidur” mereka.
“Menteri Pendidikan Maszlee Malik gagal mengambil inisiatif mereformasikan universiti awam. Universiti ini hanya versi lanjutan sekolah menengah,” katanya.