
Nurul Syakila Zain dari Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) berkata, haiwan tersebut kehilangan habitat asal dan mudah sesat ke kawasan hutan berhampiran kampung dan petempatan manusia .
“Sebab itu ia senang ditangkap dan dikesan oleh pemburu haram,” katanya ketika dihubungi FMT.
Beliau bekata demikian bagi mengulas situasi penyeludupan dan kegiatan menjual haiwan terancam di media sosial dan aplikasi atas talian.

Kata Nurul Shakila, kegiatan tidak bertanggungawab itu berada di tahap kritikal dan akan bertambah teruk jika tidak dibendung dengan segera.
Tambahnya lagi, kebanyakan haiwan yang berada di pasaran gelap sememangnya spesies yang jarang dijumpai dan semakin pupus.
“Kemungkinan besar kita akan kehilangan semua fauna yang kita ada.
“Tak mustahil kita akan kehilangan semua haiwan tersebut macam mana kita telah hilang badak sumbu di Malaysia,” katanya.
Terdahulu FMT melaporkan kegiatan mencurigakan itu semakin berleluasa di media sosial seperti Facebook dan Twitter serta platform jualan atas talian yang lain.
Haiwan yang semakin pupus seperti tenggiling hutan dan anak musang (spesies jarang dijumpai) boleh didapati dengan harga bermula RM600 seekor.
Mengulas lanjut, Nurul Shakila mengakui sudah terdapat usaha untuk memulihara hutan dan habitat haiwan menerusi pembentangan Belanjawan 2020.
Namun, ia masih belum serius dalam memberi fokus kepada isu jual beli haiwan eksotik dan terancam di atas talian.
Jelasnya, terdapat beberapa penjual atas talian yang sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa kerana melakukan kegiatan tersebut, namun masih menawarkan penghantaran haiwan terancam itu menggunakan perkhidmatan bas.
Justeru katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bersama-sama pihak Perhilitan perlu saling berkomunikasi untuk menyekat kegiatan itu daripada terus berleluasa.
“Kalau dibiarkan, negara akan tanggung kerugian kerana kehilangan biodiversiti.”

Dalam pada itu, presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), Sharifah Sabrina Syed Akil senada dengan aktivis tersebut.
Ketika dihubungi, Sabrina menyarankan supaya Perhilitan menghebahkan peruntukan undang-undang sedia ada berhubung kegiatan tersebut bagi meningkatkan pengetahuan umum.
Malah katanya, agensi itu dicadangkan menyediakan satu platform khas di atas talian untuk memudahkan orang ramai membuat aduan.
“Renjer hutan perlu ditambah baik. Lebihkan kelengkapan untuk mereka menangkap pemburu haram.”
Katanya lagi, apabila penjual menjalankan kegiatan secara atas talian, mereka sepatutnya lebih mudah diberkas.
Atas sebab itu kata beliau, pihak yang berkenaan mesti memandang serius perkara itu dan mengambil tindakan dengan kadar segera.
“Laksana moratorium ke atas kegiatan pembalakan. Inilah yang menyebabkan haiwan liar berkeliaran kerana kehilangan habitat.
“Kerana adanya jalan balak, senanglah juga para pemburu haram memasang jerat,” katanya.