Ulser di bahagian kemaluan tapi tidak sakit? Jangan abaikan!

Ulser di bahagian kemaluan tapi tidak sakit? Jangan abaikan!

Jangkitan kelamin yang juga dikenali sebagai sifilis ialah sejenis penyakit akibat daripada bakteria Treponema pallidum.

Dalam zaman yang penuh dengan aplikasi mencari pasangan atau teman dan juga interaksi yang tidak terkawal melalui media sosial, menjalinkan hubungan seks dengan kenalan di alam maya kini lebih mudah daripada biasa.

Namun peningkatan dalam aktiviti seks dan juga bilangan pasangan ini bukanlah tanpa padahnya kerana dengan setiap pasangan yang berbeza dan setiap hubungan seks tanpa perlindungan, anda terdedah kepada risiko jangkitan kelamin.

Salah satu daripada jangkitan kelamin tersebut yang cukup tersohor adalah sifilis.

Sifilis adalah sejenis penyakit jangkitan kelamin akibat daripada bakteria Treponema pallidum.

Sir William Osler, antara tokoh perubatan yang tersohor pada abad ke-19, mengelar penyakit ini sebagai “the great imitator” atau si peniru yang hebat.

Gelaran ini diberi kerana sifat jangkitan sifilis yang boleh menghasillkan pelbagai simptom dan tanda yang mirip pelbagai penyakit-penyakit lain sekaligus, menyukarkan diagnosisnya.

Namun begitu, simptom utama yang menunjuk kepada penyakit sifilis adalah kewujudan ulser pada kemaluan yang tidak sakit.

Manusia adalah bekalan semula jadi bakteria ini kerana ianya tidak mampu untuk hidup dengan lama di luar badan manusia.

Ini disebabkan oleh ketidakupayaan bakteria ini untuk menghasilkan makronutriennya sendiri, menyebabkan ia perlu bergantung kepada hos.

Beban Jangkitan Sifilis

Kebanyakan statistik berkenaan dengan sifilis berbincang tentang sifilis primer dan sekunder, kerana terdapat beberapa jenis tahap sifilis.

Sifilis merupakan salah satu jangkitan kelamin yang paling kerap berlaku di seluruh dunia, dengan anggaran sekitar 10 hingga 12 juta kes baru setiap tahun.

Ianya kekal sebagai penyakit jangkitan kelamin yang penting sejak awal ke abad-19, khususnya apabila ianya dikenalpasti meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat jangkitan HIV.

Sifilis kongenital, keadaan di mana ibu yang menghidap jangkitan sifilis (dan tidak mendapat rawatan awal atau mencukupi) menjangkiti kandungannya, kekal sebagai punca utama bagi penyakit lahir mati, kematian bayi baru lahir dan juga morbiditi dan mortaliti dalam kalangan kanak-kanak.

Pada bulan Februari tahun ini, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan anggaran lebih setengah juta kes keseluruhan sifilis kongenital pada tahun 2016, yang menyebabkan lebih 200,000 kematian dalam kandungan dan dalam kalangan bayi baru lahir.

Walaupun tidak signifikan penurunannya, dari tahun 2012 hingga 2016, anggaran ini menunjukkan beban sifilis kongenital global telah menurun dari 750,000 kepada 660,000 kes.

Namun bilangan kes yang tinggi ini masih tidak boleh diterima dan penting untuk golongan wanita mendapat akses kepada pengesanan awal dan rawatan untuk sifilis.

Mujurlah untuk rakyat Malaysia, hasil daripada perangkaan sistem kesihatan yang cermat dan pelaksanaan dasar kesihatan awam yang berjaya, pada tanggal 8 Oktober 2018, Malaysia telah diiktiraf sebagai negara pertama dalam kawasan pasifik barat WHO yang telah berjaya menghapuskan bukan sahaja transmisi sifilis daripada ibu kepada bayi, bahkan transmisi HIV daripada ibu kepada bayi.

Dengan pengiktirafan ini, Malaysia tergolong dalam kumpulan elit 12 negara di dunia diiktiraf WHO yang telah berjaya menghapuskan transmisi ibu kepada bayi bagi jangkitan sifilis dan/atau HIV.

Pada tahun 2015, kes sifilis di Malaysia adalah 6% untuk setiap 100,000 populasi (6000 orang untuk setiap 100,000 orang).

Di negara Amerika Syarikat, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) telah mengeluarkan statistik sifilis pada tahun 2017 dan didapati, kegiatan seks yang mempunyai taburan kes sifilis yang paling tinggi adalah dalam kalangan lelaki yang menjalinkan hubungan dengan lelaki sahaja (52%)

Penyakit sifilis mempunyai kadar kejangkitan yang cukup tinggi – dianggarkan 30% hingga 60% mereka yang terdedah kepada sifilis primer dan sifilis sekunder akan mendapat jangkitan tersebut.

Tambahan lagi, seorang individu yang terdedah kepada hanya 57 organisma Treponema pallidum dikatakan mempunyai setinggi 50% untuk mendapat jangkitan Sifilis.

Bagaimana Sifilis merebak

Lazimnya, sifilis berjangkit apabila seseorang itu melakukan hubungan kelamin dengan seseorang yang telah dijangkiti, khususnya jika mereka tidak menggunakan sebarang perlindungan (seperti kondom).

Transmisi ini berlaku apabila terjadinya sentuhan permukaan membran mukosa seseorang dengan membran mukosa orang yang telah dijangkiti oleh bakteria ini.

Atas sebab ini, penyebaran sifilis tidak terhad kepada hubungan kelamin penetratif melalui faraj sahaja; ianya juga boleh berlaku dalam hubungan seks anal dan juga oral.

Secara amnya, penyebaran melalui tandas duduk, tub mandi dan berkongsi sudu dan garfu adalah mustahil kerana kes seperti yang telah dibincangkan, genom kecil bakteria ini menyebabkan ianya tidak mampu untuk hidup di luar badan manusia.

Selain itu, terdapat juga beberapa cara lain di mana bakteria ini masih boleh disebarkan daripada satu individu kepada individu yang lain.

Apabila seorang ibu itu hamil dan sedang menghidap jangkitan sifilis, beliau berisiko untuk memberi jangkitan tersebut kepada kandungannya.

Kaedah jangkitan ini disebut sebagai vertikal transmission dan bayi yang menghidap sifilis melalui cara ini akan disebut sebagai menghidap sifilis kongenital.

Jenis-jenis sifilis dan simptomnya

Sifilis primer

Sifilis primer adalah jenis sifilis yang kerap ditujukan apabila seseorang itu berbicara tentang sifilis sebagai jangkitan kelamin, mahupun sifilis secara umum.

Hal ini kerana simptomnya membabitkan alat kelamin secara terus dan juga hubungan seks.

Jika anda perasan adanya kewujudan ulser pada kemaluan anda atau pernah perasan kewujudan ulser tersebut satu ketika dahulu, anda mungkin menyangkakan ianya tidak berbahaya kerana ianya tidak menyakitkan dan selepas beberapa minggu, ia hilang dengan sendirinya.

Pemerhatian ini mungkin menyebabkan anda merasakan punca kepada masalah ulser tersebut telah hilang apabila ulser tersebut sembuh.

Itu adalah tanggapan dan reaksi yang biasa namun tanggapan itu sebenarnya sangat berbahaya kerana perincian ulser yang disebut tadi adalah ciri-ciri penyakit Sifilis Primer.

Apa yang lebih membahayakan ialah chancre ini sangat mudah berjangkit dan kegagalan untuk menyedari kewujudannya atau tidak mengendahkannya boleh menyebabkan anda berisiko untuk menjangkiti pasangan anda dan/atau dijangkiti oleh mereka dengan penyakit kelamin lain kerana kerosakan dinding kulit akibat ulser tadi.

Atas sebab itu, kemungkinan seseorang itu menghidap jangkitan HIV serentak dengan sifilis adalah lebih tinggi apabila terdapat lebih daripada satu ulser di bahagian kemaluan mereka.

Hanya kerana ulser itu sudah hilang tidak bermakna ianya sudah diuruskan oleh sistem imun badan, sebaliknya, hilangnya ulser tersebut bermaksud bakteria itu telahpun memasuki bahagian badan yang lebih dalam, bergerak dari satu tahap ke tahap seterusnya yang lebih teruk.

Sifilis Sekunder

Seperti yang dibincangkan sebelum ini, apabila ianya tidak dirawat, sifilis akan bergerak ke tahap seterusnya (apabila ulser kemaluan telah hilang) iaitu ke tahap sifilis sekunder.

Sifilis sekunder berlaku kira-kira 4 hingga 10 minggu selepas jangkitan primer.

Sifilis sekunder ini mampu untuk menzahirkan pelbagai simptom dan tanda yang lazimnya membabitkan bahagian kulit, membran mukosa dan juga limfa noda.

Seseorang yang menghidap sifilis sekunder mungkin akan mempunyai ruam simetri (sama rata taburannya pada bahagian kiri dan kanan badan) berwarna merah-merah jambu yang tidak gatal, pada bahagian badan dan tangan termasuk tapak tangan dan kaki.

Ruam-ruam ini boleh wujud dalam pelbagai bentuk; rata, luas, keputihan, mirip ketuat, dan bercecair.

Walaupun tidak seperti ulser dalam sifilis primer, kesemua ruam-ruam ini tetap mengandungi bakteria Treponema pallidum yang sama seperti dalam ulser (sifilis primer) dan sangat mudah untuk berjangkit kepada orang lain.

Simptom-simtpom lain termasuklah:

  • · Demam
  • · Sakit tekak
  • · Letih dan lesu
  • · Susut berat badan
  • · Rambut gugur
  • · Pening kepala

Sifilis Pendam

Sifilis pendam disebut sebagai keadaan di mana seseorang itu tidak mempunyai simptom jangkitan sifilis tetapi melalui ujian serologi, terdapat bukti masih ada lagi jangkitan dalam badan mereka.

Ianya boleh dikira sebagai awal (kurang setahun daripada tempoh sifilis sekunder) atau lewat (lebih setahun daripada sifilis sekunder).

Tahap sifilis pendam ini dikatakan sebagai tahap di mana seseorang itu tidak mudah berjangkit.

Sifilis Tertier

Sifilis tertier adalah fasa terakhir dalam jangkitan sifilis jika ianya dibiarkan tidak dirawat.

Tanpa menerima sebarang rawatan, dianggarkan satu per tiga akan progress kepada sifilis tertier.

Ianya boleh berlaku sekitar 3 hingga 15 tahun selepas seseorang itu mula dijangkiti sifilis buat kali pertama.

Sifilis tertier boleh dibahagikan kepada tiga bentuk iaitu sifilis gummatous (15%), neurosifilis (6.5%) dan juga sifilis kardiovaskular (10%). Seperti sifilis pendam, mereka yang menghidap sifilis tertier adalah tidak berjangkit.

Sifilis Kongenital

Seperti yang dibincangkan dalam bab epidemiologi, sifilis kongenital adalah antara punca kematian dan morbiditi dalam kalangan kanak-kanak yang utama di seluruh dunia.

Sifilis jenis ini berlaku apabila bakteria Treponema pallidum berpindah kepada kandungan semasa tempoh mengandung atau semasa proses kelahiran.

Semasa tempoh mengandung, jangkitan sifilis juga mampu menyebabkan berlakunya keguguran.

Sungguhpun begitu, dua per tiga daripada keseluruhan bayi yang dijangkiti tidak menzahirkan sebarang simptom.

Bagi yang mempunyai simptom, ia lazimnya berlaku dalam tahun-tahun pertama kehidupan.

Simptom tersebut adalah hati dan limpa menjadi besar (70%), ruam (70%), demam (40%) dan keradangan paru-paru (20%).

Apabila tidak dirawat, kanak-kanak tersebut mungkin akan mempunyai keabnormalan struktur hidung mereka.

Rawatan

Jangkitan awal

Rawatan utama untuk sifilis yang tidak rumit adalah melalui suntikan satu dos benzathine benzylpenicillin ke dalam otot.

Sekiranya pesakit itu mempunyai alahan untuk antibiotik penicillin, rawatan alternatif adalah melalui pengambilan antibiotik Doxycycline dan juga antibiotik Tetracycline.

Namun yang demikian, kedua-dua ubat tadi tidak diberikan kepada wanita mengandung kerana kesannya yang boleh mengakibatkan kecacatan bayi.

Sebagai penambahan kepada rawatan, doktor akan menyarankan agar anda tidak melakukan sebarang aktiviti seksual sehinggalan ulser pada kemaluan anda sembuh atau hilang sepenuhnya.

Jangkitan lewat

Untuk neurosifilis, memandangkan suntikan benzathine penicillin tidak mampu untuk menembusi sistem saraf pusat, penghidap akan diberikan dos intravena penicillin yang besar selama 10 hari sekurang-kurangnya.

Rawatan pada peringkat akhir lazimnya terhad kerana kerosakan yang ekstensif telah pun berlaku pada bahagain dalaman badan.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.