Penyertaan dalam Sidang Kemuncak KL 2019 bukan bermakna diiktiraf kerajaan, kata Saifuddin

Penyertaan dalam Sidang Kemuncak KL 2019 bukan bermakna diiktiraf kerajaan, kata Saifuddin

Malaysia mengekalkan dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain dan saling menghormati dalam hubungannya.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata, Sidang Kemuncak KL 2019 merupakan inisiatif NGO, termasuk penglibatan 2 pertubuhan dari Maghribi.
KUALA LUMPUR:
Penyertaan mana-mana individu atau organisasi pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL) 2019 baru-baru ini tidak semestinya mendapat pengiktirafan oleh kerajaan Malaysia, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Saifuddin dalam kenyataan hari ini berkata, beliau menjelaskan inisiatif sidang kemuncak itu dan tujuannya kepada Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Kerjasama Afrika dan Rakyat Afrika Di Luar Negeri Kerajaan Maghribi Nasser Bourita, berkaitan penyertaan 2 organisasi Maghribi.

“Saya mengadakan perbualan telefon dengan Nasser Bourita awal pagi ini mengenai penyertaan 2 organisasi Maghribi, Attawhid wa Al Islah dan Al Adl wa Al Ihsan, pada Sidang Kemuncak KL baru-baru ini.

“Saya menjelaskan kepada beliau bahawa Sidang Kemuncak KL 2019 adalah inisiatif pertubuhan bukan kerajaan Malaysia (NGO) dan semua jemputan kepada ulama dan wakil sektor swasta dan masyarakat awam, serta mesyuarat mereka dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin Malaysia yang lain kendalikan oleh NGO berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Beliau menjelaskan bahawa penyertaan 2 organisasi Maghribi itu hanya terhad kepada input mereka mengenai isu berkaitan dengan 7 topik yang dibincangkan di Sidang Kemuncak KL 2019.

“Saya juga menyampaikan kepadanya bahawa Sidang Kemuncak KL 2019 diadakan dengan matlamat menyediakan platform antarabangsa untuk dialog, persidangan pemimpin Islam, cendekiawan, sektor swasta dan masyarakat sivil mencari penyelesaian yang didorong oleh tindakan kepada masalah yang dihadapi oleh ummah dan berusaha untuk memperbaiki keadaan dalam kalangan negara Islam,” katanya.

Beliau juga sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia terus menegakkan dasar selama ini yang tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara dan saling menghormati dalam hubungannya dengan negara lain yang berdaulat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.