
Beliau berkata, ia membolehkan Malaysia mempunyai perwakilan di kedua-dua wilayah Palestin.
“Pada 2020, kami akan membuka kedutaan kami di Amman. Ini kerana mustahil kami mendirikan pejabat di Ramallah kerana perlu berurusan dengan Isreal dan kami tidak akan melakukannya.
“Hakikatnya, apa yang akan berlaku adalah kami akan mempunyai 2 pejabat (kedutaan) – sebuah untuk Jordan serta sebuah lagi untuk Palestin dan sudah pasti ada 2 duta,” katanya kepada Bernama dalam satu temu ramah di pejabatnya baru-baru ini.
Beliau berkata, ini kali pertama Malaysia mempunyai seorang duta khusus untuk Palestin kerana ketika ini, Duta Malaysia ke Mesir ditauliahkan serentak ke Palestin.
Ditanya bila rancangan itu dapat direalisasikan, Saifuddin berkata, Malaysia sedang berbincang dengan Jordan berhubung perkara itu.
“Kami perlu mendapatkan persetujuan Jordan untuk membolehkan kami membuka kedutaan lain, sebaik saja mendapat kebenaran, kami akan menghantar pegawai ke sana.”
Beliau berkata, Malaysia juga sedang menilai semula semua misinya di luar negara.
Katanya, antara yang dijadualkan dibuka tahun depan ialah pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul kerana Malaysia perlu mempunyai wakil di tempat dengan kebanyakan aktiviti di Turki berlangsung.
“Ankara adalah ibu negara (dan Malaysia mempunyai kedutaan di sana). Ia umpama anda tidak mempunyai pejabat di New York, tetapi hanya ada sebuah di (Washington) DC.”
Beliau juga membayangkan kemungkinan Malaysia mempunyai perwakilan diplomatik di Ethiopia kerana negara Afrika itu merupakan pembeli minyak sawit utama dari Malaysia.
“Tidak adil jika kita tidak mempunyai pejabat di sana, kita perlu pertimbangkan perkara ini.”
Katanya, Malaysia akan melantik konsul kehormat di Libya, Iraq dan Yaman tahun depan selepas “penyahaktifan” kedutaan di negara berkenaan berikutan “masalah” di sana.
“Kami mempunyai konsul kehormat yang aktif dan berkesan di Damsyik (Syria) dan ia sangat membantu. Kami kini meneliti calon yang sesuai (sebagai konsul kehormat di Libya, Iraq dan Yaman).”