Gajah jantan ditemui mati di ladang di Kinabatangan

Gajah jantan ditemui mati di ladang di Kinabatangan

Pada Rabu Jabatan Hidupan Liar menerima maklumat mengenai seekor gajah yang berada di sebuah kawasan ladang di Sukau dalam keadaan tidak stabil.

Lebih 20 ekor gajah ditemui mati di Sabah sejak awal tahun ini. (Gambar Facebook)
KINABATANGAN:
Seekor gajah jantan berusia 5 tahun ditemui mati oleh kakitangan Jabatan Hidupan Liar Sabah di kawasan Ladang Malangking, Sukau dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Dzulbaharin Ismail berkata, pada mulanya Jabatan Hidupan Liar menerima maklumat mengenai seekor gajah yang berada di kawasan ladang berkenaan dalam keadaan tidak stabil.

“Ekoran maklumat tersebut, kakitangan jabatan berkenaan ke ladang itu untuk membuat pengesahan maklumat yang diperolehi itu, namun sebaliknya mereka menemui seekor gajah yang telah mati pada jam 3.40 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Dzulbaharin berkata, susulan penemuan itu, pihak Jabatan Hidupan Liar membuat satu laporan polis semalam pada 8.05 pagi dan pihaknya menjalankan siasatan di tempat kejadian bersama jabatan itu serta unit veterinar Kota Kinabalu.

“Hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan atau tembakan pada kesemua badan gajah, namun pemeriksaan pada organ dalaman, dipercayai ada kesan jangkitan kuman di bahagian paru-paru.

“Sebanyak 7 sampel diambil untuk tujuan analisis di Jabatan Kimia Malaysia bagi mengenal pasti punca kematian sebenar gajah tersebut,” katanya.

Sementara itu, Dzulbaharin berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 37 Enakmen Pemeliharan Hidupan Liar 1997 iaitu mencederakan haiwan hidupan liar atau dilindungi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.