Orang Melayu akan semakin marah terhadap kongres Cina, kata ahli akademik

Orang Melayu akan semakin marah terhadap kongres Cina, kata ahli akademik

Pensyarah Teo Kok Seong dari UKM tidak akan terkejut sekiranya lebih banyak luahan rasa marah orang Melayu disuarakan beberapa hari ini.

Teo Kok Seong dari UKM berkata, kongres Dong Zong tidak akan membawa apa-apa kebaikan.
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik menjangka tindak balas orang Melayu terhadap tentangan masyarakat Cina ke atas pengajaran tulisan Jawi di sekolah akan semakin bertambah.

Mengulas kenyataan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semalam berhubung rancangannya untuk menyemarakkan penggunaan Jawi di 2 kampusnya, Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, ia mungkin menandakan kemarahan orang Melayu terhadap rancangan kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong meneruskan kongres melibatkan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum itu bagi membincangkan pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Beliau tidak akan terkejut sekiranya lebih banyak luahan rasa marah itu disuarakan dalam tempoh beberapa hari ini.

Dalam kenyataan semalam, Timbalan Naib Canselor Mohammad Shatar Sabran berkata, UPSI akan membantu Kementerian Pendidikan memperkasakan Jawi sebagai warisan negara dengan menggalakkan penggunaannya.

Teo maklum Shatar tidak menyuarakan rasa marah, tetapi kenyataan itu merupakan satu bentuk tindak balas tidak langsung, seperti yang diingatkan perdana menteri sebelum ini.

“Dong Zong dan mereka yang mahu mengadakan kongres pada 28 Dis ini menggugat keharmonian negara,” katanya.

“Jika mereka meneruskannya, ia akan dilihat sebagai provokasi, satu percubaan mencari gaduh.”

Beliau juga menyebut beberapa kumpulan orang Melayu turut mengingatkan orang Cina kepada peristiwa rusuhan kaum Mei 1969.

Semalam Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia membuat laporan polis terhadap pemimpin Dong Zong atas dakwaan menghasut dan mendesak kongres berkenaan dibatalkan.

Teo berkata, kerajaan telah pun beralah kepada Dong Zong dengan mengurangkan separuh pengajaran tulisan Jawi dalam silibus bahasa Melayu.

“Selain itu ia hanya pilihan,” katanya. “Jika mereka tidak mahu mengajarnya, mereka tidak perlu melakukannya.

“Kenapa mereka perlu mengadakan kongres untuk isu itu? Tindak tanduk Dong Zong tidak membawa apa-apa kebaikan.”

Beliau berkata, sesetengah kumpulan orang Cina mempunyai “perasaan takut yang dibuat-buat” tentang penularan Islamisasi dalam sistem pendidikan.

Teo mengkritik sebilangan NGO Cina yang mahu bahasa Melayu diajar mengikut terma dan syarat mereka sendiri.

“Apabila kerajaan mahu memperkenalkan bahasa Melayu lebih tinggi di sekolah Cina, mereka kata ia akan memberi kesan ke atas identiti sekolah Cina dan mereka akan bantah.”

Badan Bertindak Ibu bapa untuk Pendidikan (PAGE) turut memberi respons terhadap kenyataan UPSI.

Setiausahanya Tunku Munawirah Putra berkata, kumpulan itu memahami keperluan untuk menyokong inisiatif kerajaan memulihara tulisan Jawi sebagai warisan negara.

Bagaimanapun katanya, agenda lebih penting ialah memastikan UPSI muncul sebagai universiti pendidikan guru yang berprestij.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.