Jurang dalam Umno melebar kerana peralihan kuasa PH, kata penganalisis

Jurang dalam Umno melebar kerana peralihan kuasa PH, kata penganalisis

Kamarul Zaman Yusoff berkata keadaan menjadi sukar buat parti itu memulihkan keretakan melainkan tarikh peralihan kuasa diumumkan.

Pemimpin Umno pada Perhimpunan Agong Umno di Kuala Lumpur awal bulan ini.
PETALING JAYA:
Penganalisis politik, Kamarul Zaman Yusoff berpandangan jurang dalam Umno akan terus melebar antara penyokong yang mahukan Dr Mahathir Mohamad terus berkhidmat sebagai perdana menteri dan mereka yang melobi Anwar Ibrahim menggantikannya.

Beliau memberitahu FMT keadaan menjadi sukar buat parti itu memulihkan keretakan tersebut melainkan tarikh peralihan kuasa diumumkan.

Beliau berkata kedua-dua pihak diketuai oleh individu-individu yang takut dikenakan pendakwaan jenayah, dengan masing-masing berharap dapat diselamatkan oleh pihak yang disokong.

Beliau berkata sehingga kini tidak ada pembelot daripada Umno yang melompat masuk PPBM dituduh melakukan jenayah.

Petanda berlakunya peningkatan pergeseran dalam Umno muncul apabila bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali semalam menyatakan hasrat meletak jawatan sebagai pengerusi lembaga disiplin parti.

Apandi memberitahu FMT beliau tidak boleh bertolak ansur dengan campur tangan pimpinan parti dalam prosiding tatatertib terhadap bekas naib presiden Hishammuddin Hussein.

“Pucuk pimpinan parti boleh kekalkan jawatan politik masing-masing, saya kekalkan maruah dan integriti saya,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam memberi reaksi terhadap terhadap penangguhan sesi siasatan oleh lembaga disiplin dengan menuduh pimpinan parti melindungi Hishammuddin.

Sesi mengambil keterangan Hishammuddin itu sepatutnya berlaku semalam.

Hishammuddin dituduh melanggar perlembagaan Umno dan kod etika parti serta gagal melindungi martabatnya. Beliau dikatakan menghadiri pertemuan sulit antara sekumpulan ahli Parlimen Umno dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bulan lalu.

Kamarul tidak merasakan Apandi akan menarik balik peletakan jawatannya, sambil menambah Umno akan terus lemah jika penggantinya dijadikan boneka pimpinan atasan.

Mengulas kegagalan mengadakan sesi siasatan semalam, beliau berkata ada pihak yang tidak mahu ia berlaku.

“Terdapat ura-ura mengatakan beberapa ahli majlis tertinggi tidak muncul setelah menerima arahan daripada pemimpin Umno tertentu,” katanya.

Beliau juga berkata Umno boleh bersatu semula sekiranya pemimpin yang bersalah melanggar undang-undang parti dihukum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.