Hidangan berasaskan durian pilihan konsep Restoran Sri Karak

Hidangan berasaskan durian pilihan konsep Restoran Sri Karak

Restoran Sri Karak menampilkan kelainan dengan menjadikan "raja buah-buahan" sebagai tarikan kepada pengunjung.

Durian bomb antara pemanis mulut yang menjadi kegemaran ramai.

Tiada siapa yang boleh menafikan bahawa rakyat Malaysia sememangnya “hantu” dengan durian.

Apa sahaja makanan yang diperbuat daripada durian, pasti ramai yang sukakannya dengan buah yang mendapat jolokan “raja” segala buah-buahan!

Sama ada “milkshake”, di transformasi kepada kek, piza, malah apa sahaja makanan yang berasaskan durian, ia akan menjadi kegemaran sesetengah masyarakat yang memang “hantu” durian.

Di Petaling Jaya, anda akan menjumpai sebuah restoran yang sememangnya menggunakan durian sebagai “signature” kepada makanan yang dihasilkan.

Berasal daripada Sri Karak, Chef Cheng Shian Chyr telah membuka sebuah restoran sejak 2003 sesuai untuk semua bangsa, malah turut menekankan konsep halal sebagai keutamaan kepada orang Islam.

Terletak di Petaling Jaya, Restoran Sri Karak telah beroperasi selama 16 tahun sejak 2003.
Pemilik restoran, Chef Cheng Shian Chyr berkata dia menggunakan pengalaman daripada keluarganya serta ibu angkatnya dalam menyediakan hidangan kepada semua bangsa.

Mencari kedai ini tidaklah sukar kerana ia terletak di hujung jalan 52/8, sekaligus anda tidak perlu “terpusing-pusing” mencari lokasi Restoran Sri Karak.

Sebaik sahaja anda melangkah masuk ke restoran, anda akan terlihat rak-rak kek dan pastri yang tersusun dan nampak menyelerakan di bahagian hadapan kedai.

Manakala di dalam kedainya mengenakan konsep sederhana, namun selesa dan terang sesuai dengan anda yang ingin makan dalam keadaan yang lebih santai.

Ikan Patin Masak Tempoyak antara hidangan “signature” Restoran Sri Karak.

Selain pastri yang berasaskan durian anda perlu merasai beberapa hidangan “signature” seperti Ikan Patin Tempoyak Temerloh yang sememangnya hidangan asal kampungnya di Pahang.

Anda akan merasakan ikan ini tidak hanyir, malah kombinasi rasa pedas dan tempoyaknya juga cukup rasa.

Menurut Cheng ikan patin ini didatangkan khas daripada Temerloh kerana ingin menjaga kualiti kesegarannya.

Oleh itu bagi anda yang sememangnya tidak makan ikan patin daripada awal, anda pasti akan menyesal jika tidak merasainya di sini.

Hidangan itik dimasak bersama sos tiram dan resepi tersendiri yang perlu anda cuba.

Beralih pula kepada itik, ia juga merupakan hidangan “signature” di restoran Sri Karak.

Dengan limpahan sos tiram, rasanya yang masam manis dan pedas sedikit pasti akan membuatkan itik tersebut berasa enak, apatah lagi dengan kelembutan daging itu pada setiap kunyahan bersama nasi.

Jangan lupa makan itik tersebut bersama dengan sayuran segar dari Cameron Highlands iaitu Baby Genting French Beans yang dimasak bersama udang kering.

Mi wantan digoreng dengan cara “kanton” bersama udang galah yang segar, sesuai untuk dua ke tiga orang hidangan.

Rasai juga hidangan mee yang digoreng bersama udang galah segar dari Sri Karak.

Menurut Cheng, ia merupakan menu tradisi keluarga yang menjadi kegemaran pengunjung.

Mee tersebut dimasak dengan cara kanton dan hidangannya boleh dimakan bersama tiga orang.

Beralih pula kepada hidangan mee kari, ia sememangnya menjadi hidangan “signature” di sini sehinggakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali turut menyukainya.

Mi kari dengan resepi tersendiri, anda akan merasai keunikan pada hidangan ini.

Berlainan dengan mee kari cina, rasa pekat, pedas dan lemaknya terasa apabila ia mengalir dalam mulut anda.

Anda disarankan untuk mencuba hidangan mee kari ini jika sampai di Restoran Sri Karak!

Sebaik sahaja anda menikmati kesemua hidangan ini, rasai pula hidangan manis “dessert” seperti tart durian, durian “bomb” dan kek Sri Karak yang disaluti inti kaya sehingga menjadi kegemaran kebanyakan pengunjung di sini.

ABC durian sebagai pemanis mulut, sesuai dinikmati selepas hidangan berat.
Tart telur turut anda boleh perolehi di Restoran Sri Karak.
Muffin juga antara pastri yang dibuat khas sendiri di restoran ini.

Jika anda inginkan sesuatu yang “sejuk”, rasai ABC durian dengan rasa gula melaka yang enak, serta kacang merah yang diletakkan dalam mangkuk yang sama.

Mengulas lanjut Cheng berkata kesemua hidangan ini merupakan hidangan tradisi keluarganya di Sri Karak, namun di sana hanyalah untuk masyarakat Cina sahaja dan tidak halal.

Tetapi di Restoran Sri Karak PJ, dia dan abangnya memilih konsep hidangan untuk semua bangsa memandangkan Cheng sendiri mempunyai ramai kawan Melayu sejak kecil lagi.

Restoran Sri Karak,
17, Jalan 52/8,
Sekysen 52,
46200 Petaling Jaya,
Selangor.

Waktu operasi : 10.30 pagi sehingga 10 malam setiap hari,

10.30 pagi-3 petang dan 6 petang-10 malam pada Ahad.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.