
Naib presidennya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, skuad sukarelawan itu diwujudkan susulan kenyataan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 3 Dis lalu yang mahu memburu pelancong dari China dan India yang tinggal lebih masa di negara ini.
“Isu berkaitan kebanjiran warga asing adalah perkara yang boleh gugat kedaulatan negara.
“Pada 19 Dis, kami hantar surat kepada ketua pengarah Imigresen dan ketua polis negara untuk tawar 1,000 sukarelawan bagi membantu memburu pelancong asing seperti yang diberitakan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Putra di sini, hari ini.
Khairul Azam berkata, skuad sukarelawan itu juga menerima
pendaftaran pelbagai kaum daripada latar belakang berbeza yang ingin menyertainya.
Katanya, beliau juga memahami halangan yang dihadapi oleh imigresen, polis dan Rela yang terlibat dalam operasi membanteras warga asing.
“Mereka tak cukup tangan buat operasi membanteras pendatang asing. Kita faham mereka kurang kakitangan, logistik dan sebagainya.
“Justeru apalah salahnya jika sukarelawan Putra berkhidmat untuk negara. Tanpa perlu upah, gaji. Mereka berkhidmat sukarela cuma kita nak selaraskan dengan pihak keselamatan agar sukarelawan ini tidak dilihat sebagai kumpulan pengacau,” katanya.
Dalan pada itu mengenai perasaan takut kehilangan kuasa ekonomi dan hak tanah menyebabkan penduduk tempatan negeri ini menyimpan perasaan benci atau xenophobia terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati), Khairul Azam berkata skuad sukarelawan itu juga akan membantu memburu pendatang asing di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, di Sabah juga banyak pendatang dari Filipina dan Suluk.
“Di Sabah mereka kata tak banyak pendatang dari India dan China. Kebimbangan itu memang berasas.
“Jadi memang ini juga antara tujuan kita, bukan fokus kepada pelancong China dan India sahaja, malah akan kembangkan kepada pendatang dari negara lain, termasuk di Sabah. Itu laluan kemasukan utama kemasukan Pati dalam negata kita.
“Akan ada ‘mata-mata’ memerhati dam memberikan maklumat dan kita akan pastikan pihak berkuasa ambil tindakan effisien,” katanya.