Mansuh elaun kritikal: KKM akan jumpa JPA

Mansuh elaun kritikal: KKM akan jumpa JPA

Dzulkefly Ahmad berkata pertemuan itu akan diusahakan secepat mungkin bagi mencari jalan terbaik.

Menteri Pendidikan, Dzulkefly Ahmad. 
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung keputusan memansuhkan bayaran insentif perkhidmatan kritikal (BIPK) kepada penjawat awam baru bermula tahun depan.

“Saya telah beritahu dan arahkan timbalan saya (Lee Boon Chye) untuk berbincang bersama KSU (ketua setiausaha) dan ketua pengarah kesihatan (Dr Noor Hisham Abdullah) supaya KKM duduk bincang dengan JPA secepat mungkin.

“Kita nak bincang tentang pemansuhan elaun dan cari jalan terbaik,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, JPA mengesahkan pemansuhan BIPK berkuatkuasa 1 Januari 2020 kepada lantikan baru penjawat awam namun ia tidak menjejaskan penerima sedia ada.

Mengulas lanjut, Dzulkefly yang sedang menunaikan umrah di tanah suci itu berkata pihaknya mempunyai beberapa cadangan untuk disampaikan kepada JPA.

“Kita ada beberapa cadangan untuk diutarakan kepada JPA tapi bagi kami jumpa dulu dan bincang dengan mereka sebelum bicara lebih lanjut.

“Selain daripada ini, saya perlu bangkitkan dalam Kabinet nanti,” katanya.

Keputusan pemansuhan elaun kritikal itu menerima bantahan pelbagai pihak termasuk daripada NGO dan menteri.

Pemansuhan elaun itu melibatkan pelbagai sektor kritikal terutama perubatan, kejuruteraan, undang-undang dan sebagainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.