
Sambutan Krismas merupakan perayaan yang diraikan semua masyarakat Kristian.
Kebiasaannya kita akan dengar mereka yang berbangsa Cina dan India turut meraikannya kerana pegangan agama yang mereka sejak kecil.
Namun mungkin anda lupa tentang masyarakat minoriti di Malaysia iaitu Orang Asli kerana mereka turut meraikannya dengan sambutan yang sama.
Dengan cara tersendiri, masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Bangkong, Sepang tampil dengan cara yang unik di mana sambutan Krismas disambut dengan masyarakat berbilang bangsa dari Sabah, Sarawak dan Indonesia.


“Walaupun kita di sini masyarakat minoriti, tapi kita tiada masalah menyambut Krismas kerana kesatuan masyarakat Asli di sini kuat. Tok Batin yang banyak memainkan peranan.
“Di sini kami ada Orang Asli yang beragama Islam, tiada agama dan Kristian. Tetapi jika kami meraikan sebarang perayaan, kesemua golongan lain akan bantu kami, begitu juga dengan kami sentiasa membantu mereka jika Raya Puasa dan sebagainya,” kata paderi masyarakat Orang Asli Bukit Bangkong, Sepang Reverend Bakar Mogot kepada FMT.
Bagi sambutan Krismas di sini iaitu di rumah sembahyang Evangel, mereka mempunyai cara tersendiri, berbeza dengan bangsa Cina dan India dalam menyambut Krismas.
“Kebiasaannya di tempat lain mereka akan mendengar khutbah dalam bahasa Inggeris, tetapi di sini semasa permulaannya, kita membaca khutbah dan meraikan Krismas menggunakan bahasa Orang Asli.


“Tetapi kita dapat tahu ada orang Sabah, Sarawak dan Indonesia yang tidak faham Bahasa Inggeris, jadi mereka menyertai kita dalam sambutan Krismas, sejak 1991 kita mula gunakan Bahasa Melayu yang diterjemahkan dari Bahasa Indonesia,” ujarnya lagi.
Dalam sambutan tersebut mereka akan mengadakan persembahan daripada setiap bangsa dan negeri bagi memuja tuhan mereka.
Menggunakan konsep “Cantata” iaitu koordinasi yang sempurna untuk membuat persembahan memuja tuhan, ia pastinya memerlukan perbincangan yang teratur daripada banyak pihak.
Ternyata, masyarakat Orang Asli mempunyai kepimpinan yang baik dalam mengetuai dan mengendali upacara sembahyang sehingga tamatnya program tersebut.
Turut dilihat, masyarakat berbangsa India yang menyertai sambutan Krismas bersama masyarakat Orang Asli di sini.

Menurut Visvanathan Arumugam, 49, yang bekerja sebagai Pengurus Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB), menyambut Krismas di sini sejak lima tahun lalu membuatkan dirinya tidak berasa kekok kerana masyarakat Orang Asli Bukit Bangkong terkenal dengan sifat ramahnya.
“Saya sebelum ini menyambut Krismas di Sungai Pelek iaitu di gereja Tamil, kemudian saya cuba di tempat baru iaitu bersama masyarakat Orang Asli, termasuk tahun ini saya sudah lima tahun bersama mereka.
“Pada mulanya saya memang agak segan dan kekok kerana tidak faham dengan cara dan budaya masyarakat Orang Asli menyambut Kristian. Lama kelamaan, saya mula merasakan mereka sebahagian daripada keluarga saya sendiri, mereka rendah diri, peramah dan paling saya suka ialah tiada darjat yang diletakkan dengan sesiapa pun,” katanya.

Begitu juga dengan Ajis Madom yang berasal dari Sabah, sememangnya dia bersyukur boleh menyambut Krismas di gereja yang menggunakan bahasa Melayu ketika upacara sembahyangnya.
“Saya dah menetap di sini sejak 10 tahun lalu, sejak datang ke sini saya memang ada masalah bahasa, jadi bila saya jumpa gereja yang di sambut bersama masyarakat Orang Asli, saya dan keluarga terus datang ke sini untuk meraikannya bersama,” katanya.
Sambutan Krismas Orang Asli juga mempunyai menu wajib lain daripada yang lain memandangkan masyarakat Orang Asli Bukit Bangkong merupakan suku Mah Meri iaitu orang asal laut.


“Setiap Orang Asli mempunyai keistimewaan tersendiri, seperti kita di sini menjadi menu wajib setiap tahun perlu ada rendang lokan, sebab kita memang tinggal dekat dengan pantai, kita akan mencari lokan dan menjadikan menu utama pada hari Krismas,” jelas Bakar.
Dalam pada itu Tok Batin Taha Akhir, 53 seorang “animis” dan juga penghulu kepada hampir 800 masyarakat Orang Asli di situ menyatakan yang dia sangat menitik beratkan peranannya dalam memastikan kebajikan dan keamanan masyarakat Orang Asli di tempatnya sentiasa terjaga dan terpelihara.
“Saya Tok Batin tetapi tidak ada agama, kepercayaan saya hanya pada nenek moyang sahaja, tetapi kesepakatan antara kami agak kuat. Menjaga hubungan yang baik dengan masyarakat kampung satu perkara yang perlu diambil perhatian. Kita kan duduk sekampung. Jangan sisihkan diri dari pergaulan dalam masyarakat kampung.
“Kalau di kampung tidak kira Kristian, Islam, apa juga acara yang disambut sama ada kematian, perkahwinan, perayaan, kita akan menyertai bersama-sama. Walaupun Orang Asli di sini minoriti, kami tak rasa yang kami diancam dengan masyarakat kampung,” ujarnya.
Meskipun hanyalah kumpulan minoriti namun masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan meraikan Krismas bersama-sama dengan mereka yang menyambutnya. Untuk melihat sendiri kemeriahan sambutan Orang Asli boleh klik di link ini.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]