Petisyen kembalikan elaun kritikal kakitangan perubatan dapat sambutan hangat

Petisyen kembalikan elaun kritikal kakitangan perubatan dapat sambutan hangat

Petisyen atas talian yang menyasarkan 75,000 tandatangan itu mendapat lebih 56,000 sokongan setakat jam 9.30 malam ini.

MMA melancarkan petisyen bagi mengembalikan bayaran BIPK kepada bakal kakitangan perubatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Petisyen yang dilancarkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bagi mengembalikan bayaran insentif perkhidmatan kritikal (BIPK) kepada bakal kakitangan perubatan yang bakal dimansuhkan tahun depan mendapat sambutan hangat.

Petisyen atas talian yang menyasarkan 75,000 tandatangan itu mendapat lebih 56,000 sokongan setakat jam 9.30 malam ini.

Berdasarkan keterangan pada petisyen itu, Naib Pengerusi Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos) MMA, Dr Vijay Ganasan berkata petisyen itu sebagai solidariti pihaknya terhadap bakal kakitangan perubatan.

“Yang terjejas kakitangan perubatan baru dilantik, mereka sudah pun berdepan prospek kerjaya yang suram dan peluang kerja tetap yang tipis.

“Mansuh elaun kritikal sudah tentu memberi kesan kepada moral kakitangan perubatan baru yang akan menyumbang kepada pengurangan produktiviti dan kepuasan kerja.

“Pastinya bukan sebab wang ringgit tapi pengiktirafan dan penghargaan atas perkhidmatan kritikal yang kami beri,” katanya.

Sebelum ini Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengesahkan pemansuhan BIPK melibatkan lantikan kakitangan baru bermula 1 Jan, namun penerima sedia ada tidak terjejas.

Keputusan itu menerima kritikan pelbagai pihak termasuk Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam) juga mengkritik tindakan itu dan menggesa kerajaan khususnya JPA menilai semula keputusan itu demi kepentingan kebajikan kakitangan kesihatan yang bakal memastikan perkhidmatan kesihatan cemerlang kepada rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.