Penghuni rumah pangsa tanpa balkoni lebih tertekan, kata pakar

Penghuni rumah pangsa tanpa balkoni lebih tertekan, kata pakar

Rekaan yang tertutup menyumbang kepada tekanan penghuni yang rasa terkurung dalam ruang yang sempit.

Rumah pangsa kos rendah tanpa balkoni meningkatkan tekanan penghuninya.
PETALING JAYA:
Binaan bertingkat yang tertutup seperti rumah pangsa kos rendah tanpa balkoni mungkin memberi masalah kepada kesihatan penghuninya, menurut pakar yang dihubungi FMT.

Nurul Liyana Hanapi, seorang pensyarah Senibina Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina dari Universiti Segi, percaya tekanan perasaan penghuni rumah pangsa kos rendah tanpa balkoni lebih tinggi berbanding rumah jenis lain, berdasarkan suatu kajian antara 2017 hingga 2019 yang menunjukkan rata-rata penghuni rasa terkurung dalam ruang yang sempit.

“Bayangkan untuk tampung keluarga selepas habis kerja mereka buat kerja sampingan. Apabila balik rumah pula anak ramai, sempit dan kawasan tertutup,” katanya kepada FMT, dan menambah rata-rata rumah pangsa kos rendah sekarang dibina tanpa balkoni.

“Ruang tamu terus tingkap jadi mereka terkurung dalam rumah, tiada pemandangan, hanya harapkan tingkap. Tapi kita tak bolehlah nak berdiri saja di tingkap sampai bila-bila,” tambahnya.

Keadaan mereka diburukkan lagi dengan sumber-sumber tekanan lain seperti kesesakan jalan raya yang ditempuhi setiap hari, tekanan di tempat kerja, masalah lif yang kerap rosak, dan tempat letak kereta yang terhad.

“Saya buat kajian tentang orang-orang di kawasan kos rendah ini, tentang tindakan semasa kecemasan, tapi pada masa yang sama saya dapati tahap tekanan dan ketidakpuashatian mereka memang sangat tinggi,” katanya.

“Kalau nak bandingkan tahap tekanan, saya berpendapat memang lagi tertekan penghuni flat berbanding kondominum,” tambahnya.

Nurul berpandangan pihak berkuasa perlu menetapkan rekaan rumah pangsa kos rendah di kawasan bandar yang benar-benar memberi keselesaan kepada penghuni.

Beliau berkata rekaan hari ini akan mengurangkan suatu unsur untuk melebihkan unsur yang lain, seperti bilangan bilik.

“Bayangkan apabila dengan 700 kaki persegi itu dapat 2 bilik dan dapat ruang tamu yang besar, tapi apabila bina 3 bilik, ruang tamu, dapur semakin kecil,” katanya.

“Kita tak ada rekaan yang betul-betul selesa untuk dibina di kawasan bandar,” katanya.

Nurul turut berpandangan pemaju wajar memberi perhatian kepada keperluan penghuni dalam pembinaan rumah pangsa kos rendah.

Beliau juga maklum rumah pangsa kos rendah yang dibina bawah program perumahan rakyat termiskin (PPRT) mempunyai kepadatan yang tinggi, sehingga setiap tingkat memiliki sehingga 30 unit rumah.

“Kita perlu tingkatkan sensitiviti apa keperluan mereka sebenarnya. Apabila mereka balik rumah apa yang diperlukan sebab sekarang ini kita setakat bina rumah untuk memastikan mereka ada rumah,” katanya.

“Tak perlu berpuluh benda, cukup satu demi satu. Mungkin keperluan fasiliti tapi kita cuba sediakan tanpa meningkatkan harga keseluruhan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.