
Pelosi, speaker Dewan Perwakilan yang dikuasai Demokratik berkata beliau belum bersedia menamakan pasukannya untuk perbicaraan Trump di Senat yang majoritinya daripada Republikan.
“Dewan tidak boleh memilih pengurus pendakwaan sehingga kami tahu apa jenis perbicaraan yang akan dikendalikan oleh Senat,” kata Pelosi di Twitter.
Pengurus dewan akan melakukan pendakwaan kes terhadap Trump di Senat dalam perbicaraan yang dijangka diadakan pada Januari depan. Parti Republikan Trump mempunyai 53-47 kerusi di Senat.
Pelosi juga belum menghantar artikel-artikel pendakwaan yang diluluskan dewan minggu lalu kerana masih kebuntuan mengenai bagaimana McConnell akan mengendalikan perbicaraan itu nanti.
Demokrat memanggil 4 pembantu dan bekas pembantu Rumah Putih yang mempunyai maklumat langsung mengenai rundingan Trump-Ukraine untuk memberi keterangan di Senat.
Trump bagaimanapun menghalang keempat-empat individu itu memberi keterangan. Demokrat percaya penampilan mereka akan meningkatkan lagi kes untuk disabitkan di Senat, di mana 2/3 majoriti diperlukan untuk memecat Trump.
“Trump menghalang saksi dan beberapa dokumen daripada pihaknya dibawa ke dewan, dan juga rakyat Amerika, dengan memberikan aduan palsu tentang proses dewan,” kata Pelosi. ”
McConnell dalam rancangan televisyen Fox & Friends semalam, berkata, “Pelosi nampaknya mempercayai bahawa beliau boleh memberitahu kami bagaimana untuk menjalankan perbicaraan.”
“Kami tidak menolak saksi,” kata McConnell, sambil menambah bahawa dia mahu menggunakan peraturan yang sama seperti dalam perbicaraan pendakwaan bekas presiden Bill Clinton.
“Anda mendengar hujah-hujah pembukaan, anda mempunyai tempoh soalan bertulis, dan pada masa itu dalam perbicaraan Clinton, kami mempunyai keputusan mengenai saksi mana yang hendak dipanggil,” katanya.
“Apa yang cukup baik untuk presiden Clinton, cukup baik untuk Presiden Trump,” kata senator Republikan dari Kentucky itu.
McConnell membidas tindakan Pelosi kerana masih tidak menghantar artikel-artikel pendakwaan ke Senat.
“Kertas-kertas itu perlu dibawa ke Senat secara fizikal, dan kami tidak boleh melakukan tindakan selanjutnya sehingga speaker tidak berbuat demikian,” katanya.
“Anda tahu, saya memang tidak mahu perbicaraan ini dilakukan,” tambah McConnell. “Jadi jika dia mahu terus pegang kertas-kertas itu, silakan.”
“Cepat atau lambat, saya mengandaikan dia akan menghantar kertas-kertas pendakwaan berkenan,” katanya. “Pada saya ia sesuatu yang tidak masuk akal, selepas anda mendakwa presiden, anda tidak mahu menghantar kertas pendakwaan ke Senat untuk perbicaraan seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan.”