
Ketua jurulatih olahraga paralimpik negara, R Jeganathan memberi jaminan anak didiknya akan tetap bertanding pada temasya dwi tahunan ke-10 itu yang pada awalnya dijadualkan pada 18 hingga 24 Jan depan, walaupun terpaksa mengetepikan kejohanan lain.
“Acara olahraga merupakan ‘lubuk emas’ buat kontinjen negara. Suka atau tidak kita kena sertai kejohanan itu, kena terima. Walaupun tunda kena juga ambil bahagian. Ini maruah negara, semua kenal kita. Sukan Para Asean ini juga satu jalan (persiapan) untuk ke Sukan Paralimpik Tokyo nanti.
“Semua paralimpian kita akan ke Filipina juga, seperti Muhammad Ziyad Zolkefli, Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Puzi. Mereka semua faham mengenai misi kita. Tumpuan mereka tidak terjejas,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Pada edisi lepas ketika Malaysia menjadi tuan rumah, skuad olahraga para negara menjadi penyumbang kilauan emas kepada kontinjen negara selepas berjaya menghadiahkan 36 daripada 90 pingat emas keseluruhan yang dimenangi Malaysia.
Jeganathan menegaskan demi menjaga dan mengharumkan nama negara, beliau mengambil inisiatif merehatkan atletnya daripada latihan intensiti selama 2 minggu sebelum memulakan semula latihan seperti biasa sehingga kemuncaknya pada Mac.
“Kita tidak kisah mengenai penundaan (tarikh) ini. Sebagai jurulatih, saya sudah terangkan kepada atlet mengenai perkara ini, supaya jangan ambil peduli. Apa yang penting, teruskan latihan demi nama baik negara.
“Dan sebagai atlet yang matang, mereka tidak boleh menyalahkan sesiapa pun, kita tahu penganjur ada masalah, kita kena terima hakikat,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) dalam kenyataan menyatakan kekurangan bajet dan pengeluaran dana daripada Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan Para Asean Filipina (PHILAPGOC) menjadi punca temasya dwitahunan itu ditangguhkan.
Ekoran daripada pengumuman itu, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) telah menghantar surat protes kepada Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PPC) pada hari sama, dan akan berjumpa dengan presiden APSF, Mejar Jeneral Osoth Bhavillai, untuk menyatakan bantahan secara lisan.