Kedutaan China enggan terima memorandum bantah tindakan terhadap Uighur

Kedutaan China enggan terima memorandum bantah tindakan terhadap Uighur

Memorandum itu antara lain meminta kerajaan China membenarkan beberapa pihak seperti PBB, NAM dan OIC untuk diberikan akses melihat situasi etnik Uighur di Xinjiang.

Sebanyak 58 NGO berkumpul di hadapan Kedutaan Besar China hari ini untuk menyerahkan memorandum membantah tindakan negara itu terhadap etnik Uighur.
KUALA LUMPUR:
Kedutaan Besar China di Malaysia enggan menerima memorandum daripada sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu membantah tindakan negara itu terhadap etnik Uighur.

Exco Pemuda PPBM Mohd Ashraf Mustaqim berkata tindakan mereka sangat mengecewakan kerana beliau bersama 58 NGO lain ingin menyerahkan memorandum berkenaan atas dasar diplomasi yang terjalin antara Malaysia dan China.

“Kita sebenarnya sudah berusaha untuk menghantar memorandum ke Kedutaan Besar China di Malaysia tetapi malangnya, kami secara tidak langsung ingin menyatakan kekecewaan kami, kami tahu kedutaan buka operasinya hari ini tetapi mereka tidak melayan kita.

“Mereka tidak layan untuk kita hantar memorandum, maka kita tidak serahkan. Kita tidak mahu memorandum kita ini `dibakul sampahkan’. Kita datang atas hasrat diplomasi, kita bukan datang ingin menggesa, marah atau hendak ajak perang,” katanya kepada pemberita di hadapan Kedutaan Besar China hari ini.

Pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan aktivis berkata sekurang-kurangnya 1 juta masyarakat Uighur dan kumpulan minoriti beragama Islam lain ditahan di kem-kem di Xinjiang dalam tindakan keras yang bermula sejak 2017.

Beijing menafikan sebarang penganiayaan terhadap Uighur dan minoriti lain di Xinjiang, mengatakan ia hanya menyediakan “latihan vokasional” untuk membasmi sikap militan dan mengajar kemahiran baru.

Wilayah Xinjiang di China didiami kira-kira 10 juta orang Uighur. Kumpulan orang Islam berketurunan Turki itu, yang membentuk kira-kira 45% daripada populasi Xinjiang, sudah lama mendakwa pihak berkuasa China melakukan diskriminasi budaya, agama dan ekonomi.

Antara NGO yang turut serta dalam penyerahan memorandum itu ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Kelab Generasi Patriot Malaysia (GenPatriot), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Mohd Ashraf Mustaqim.

Ashraf berkata, memorandum itu antara lain meminta kerajaan China membenarkan beberapa pihak seperti PBB, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk diberikan akses melihat situasi etnik Uighur di Xinjiang.

“Kita hendak menilai sendiri, kita hendak tahu apakah sebenarnya yang berlaku di Xinjiang. Kita mahu badan-badan ini diberikan ruang untuk menghantar wakil. Kita juga mendesak supaya China berikan ruang kepada Malaysia untuk menjadi pengantara, membantu menyelesaikan masalah di Xinjiang,” katanya.

Tambahnya, isu melibatkan etnik Uighur di Xinjiang bukan melibatkan isu penindasan yang berlaku kepada umat Islam semata-mata tetapi turut melibatkan isu-isu kemanusiaan.

Hal demikian kerana menurutnya, laporan media antarabangsa menggambarkan etnik berkenaan ditindas oleh pihak berkuasa China.

“Kita pandang isu ini sebagai isu sejagat dan kita tuntut perkara ini untuk disuarakan. Jika cara gerila seperti ini Kedutaan Besar China di Malaysia tidak boleh terima, kita akan tulis surat. Jika mereka mahu bertemu kita secara profesional, kita juga akan terima.

“Kita akan menggerakkan masyarakat massa, mungkin di negeri-negeri sebab ini bukan masalah umat Islam sahaja, ia melibatkan masalah kemanusiaan. Perkara yang kita beri perhatian adalah jangan dera umat Islam. Jangan lakukan perkara yang pada satu sisi melawan norma kemanusiaan,” katanya.

Pada 26 Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusuf Rawa memuat naik gambar lawatannya bersama delegasi ke “Pusat Latihan dan Vokasional” bagi masyarakat Uighur di China.

Mujahid berkata pusat latihan itu menjalankan latihan perindustrian dengan pelbagai kemahiran seperti menjahit, kelas perundangan, seni, gubahan bunga dan sebagainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.