Tangguh Sukan Para ASEAN jejas kelayakan ke Paralimpik Tokyo

Tangguh Sukan Para ASEAN jejas kelayakan ke Paralimpik Tokyo

Halimon Mohamad Sood berkata penangguhan itu sedikit sebanyak menjatuhkan moral atlet kerana mereka hampir berada di puncak prestasi.

Pengarah Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Halimon Mohamad Sood (kanan) ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang ‘INAS Global Games Brisbane 2019′ di Pusat Paralimpik Malaysia Oktober lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Penangguhan Sukan Para ASEAN 2020 bukan sahaja memberi kesan ke atas prestasi atlet, malah menjejaskan persediaan mereka dalam mengumpul mata kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Pengarah Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Halimon Mohamad Sood berkata kebanyakan atlet para negara akan menyertai kejohanan kelayakan ke Tokyo 2020 bermula Februari hingga Jun depan.

“Ada atlet akan terlibat dengan kejohanan kelayakan Tokyo 2020 selepas Sukan Para ASEAN terutamanya pada Mac. Jika Sukan Para ASEAN diteruskan juga pada Mac memang ia akan mengganggu perancangan kita dan jurulatih terpaksa ubah jadual latihan.

“Jika ada atlet terlibat dalam misi layak ke Tokyo 2020, jurulatih terpaksa memilih sama ada mahu teruskan ke Filipina atau Tokyo. Jika ke Sukan Para ASEAN, kita akan rugi mata kelayakan ke Sukan Paralimpik. Jika ke kejohanan kelayakan, pingat di Sukan Para ASEAN mungkin terjejas.

“Kami kena buat penilaian semula mengenai jumlah sasaran pingat di Sukan Para ASEAN jika ramai atlet terlibat dengan kejohanan kelayakan ke Sukan Paralimpik,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Temasya dwitahunan terbesar Asia Tenggara bagi atlet para itu pada awalnya dijadual berlangsung dari 18 hingga 24 Jan, namun ditunda ke tarikh baru pada 20 hingga 28 Mac.

Antara atlet yang akan terlibat dengan kejohanan kelayakan Sukan Paralimpik ialah dalam sukan badminton, olahraga, powerlifting, berbasikal serta renang.

Sukan Paralimpik 2020 akan berlangsung dari 25 Ogos hingga 6 Sept.

Mengulas lanjut, Halimon secara peribadi kecewa dengan berita penangguhan berkenaan kerana ia pasti memberi kesan kepada perancangan jurulatih serta atlet.

Beliau berkata isu itu sedikit sebanyak menjatuhkan moral atlet kerana mereka hampir berada di puncak prestasi atau sekurang-kurang 80% ke 90% di tahap bersedia untuk bersaing pada temasya sukan berkenaan.

“Saya tidak tahu sempat atau tidak untuk atlet berada di prestasi puncak jika ia diadakan pada Mac. Selain daripada masalah prestasi atlet, masalah cuti atlet juga terjejas, sebab mereka tidak diberikan cuti yang banyak sebelum temasya Sukan Para ASEAN. Mereka harapkan selepas temasya boleh cuti panjang.

“Begitu juga dengan atlet di luar program MSN yang sudah diberikan cuti oleh majikan masing-masing sehingga kejohanan berakhir. Mereka akan mula bekerja pada Februari. Sepatutnya selepas perayaan Krismas ini, pihak saya sudah boleh selesaikan urusan pentadbiran,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) dalam kenyataan menyatakan kekurangan bajet dan pengeluaran dana daripada Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan Para Asean Filipina (PHILAPGOC) menjadi punca temasya dwitahunan itu ditangguhkan.

Ekoran daripada pengumuman itu, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menghantar surat protes kepada Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PPC) pada hari sama, dan akan berjumpa dengan presiden APSF, Mejar Jeneral Osoth Bhavillai, untuk menyatakan bantahan secara lisan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.