Siapa sangka ketam boleh masuk telinga

Siapa sangka ketam boleh masuk telinga

Seorang lelaki terpaksa melalui kesakitan perit selepas seekor ketam masuk ke dalam telinga ketika sedang berjemur di tepi pantai.

Gambar Gulf News, Dubai.

Seorang lelaki terpaksa menjalani pembedahan selepas seekor anak ketam merangkak masuk ke telinganya ketika dia sedang berjemur di tepi pantai di Abu Dhabi.

Lelaki berusia 38 itu yang hanya dikenali sebagai L E terpaksa melakukan endoskopi untuk mengeluarkan haiwan itu selepas berjemur di tepi pantai di Emiriah Arab Bersatu itu pada 18 November lalu.

“Saya sedang berjemur apabila tiba-tiba merasakan sesuatu masuk ke dalam telinga.

“Ketika itu saya tidak dapat membayangkan apa yang masuk ke telinga saya, tetapi memang ia menyakitkan.

“Namun saya langsung tidak terfikir mungkin ketam masuk ke telinga,” katanya kepada Gulf News.

Menurutnya, rasa tidak selesa itu kemudian semakin menyakitkan menyebabkan dia tidak tahan lalu mendapat rawatan di hospital.

“Rupanya anak ketam merangkak masuk ke telinganya.

“Akibatnya saluran telinga bengkak dan sempit menyebabkan haiwan itu terperangkap,” kata Dr Prabir Paul yang merawatnya.

Susulan itu, doktor memasukkan endoskop ke dalam telinganya untuk mengeluarkan anak ketam itu tanpa mengakibatkan kerosakan terhadap telinga pesakit.

“Mujur pesakit tidak mengalami kecederaan telinga,” katanya lagi.

Sementara itu, L E berkata, kejadian itu merisaukannya kerana bimbang telinganya rosak.

“Saya berterima kasih kerana doktor yang merawat begitu cekap. Keyakinan dan kesabarannya amat menenangkan saya,” katanya.

Awal tahun ini, seorang wanita di Vietnam turut dilaporkan sakit selepas lipas ditemui di dalam telinganya dengan video dikongsikan menunjukkan doktor menggunakan endoskop untuk mencari dan mengeluarkan serangga itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.