Letusan gunung berapi di NZ: Angka kematian meningkat 17 orang

Letusan gunung berapi di NZ: Angka kematian meningkat 17 orang

Polis akan meneruskan pencarian 2 lagi mangsa yang masih belum ditemukan.

Gunung berapi yang meletus di White Island, New Zealand. (Gambar Reuters)
WELLINGTON:
Polis New Zealand hari ini mengesahkan salah seorang pelancong yang cedera akibat letusan gunung berapi di White Island awal bulan ini meninggal dunia, menjadikan angka rasmi kematian kepada 17 orang manakala 2 lagi masih belum ditemukan.

“Polis mengesahkan seorang lagi mangsa meninggal dunia di Hospital Middlemore malam tadi. Polis diberitahu tentang kematian itu beberapa minit sebelum pukul 11 malam,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis John Tims dalam kenyataan.

Polis bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai identiti atau kerakyatan mangsa tersebut.

Majoriti mangsa letupan gunung berapi itu merupakan warganegara atau penduduk tetap Australia.

Mereka yang masih hilang iaitu, Winona Langford, 17, dari Australia dan pemandu pelancong warga New Zealand, Hayden Marshall-Inman, 40, dianggap terkorban dan mayat mereka dipercayai telah dihanyutkan ke laut.

Polis melakukan pencarian semula dan mengatakan tidak akan berputus asa sehingga menemui kedua-dua mangsa yang hilang.

Terdapat kritikan kerana membenarkan manusia berada di pulau itu memandangkan gunung berapi tersebut masih aktif dan boleh mengundang risiko.

Terdapat juga spekulasi akan berlaku perubahan besar dalam industri pelancongan New Zealand.

Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern berkata inkuiri rasmi oleh koroner dan pegawai keselamatan ke atas letusan gunung berapi itu mungkin mengambil masa satu tahun, dan mereka yang disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 5 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.