
Beliau juga merayu kepada Putrajaya memberi perhatian kepada pasukan polis dan dapat menyediakan beberapa fasiliti seperti dewan, lot parkir dan padang kawad di Bukit Aman.
“Sekiranya dewan ini ada, maka warga polis akan dapat jalankan aktiviti tertentu, tidaklah kita berbelanja di luar. Begitu juga dengan lot parkir, berlaku rebut- merebut dan beberapa kereta juga musnah apabila dihempap pokok ketika berlaku ribut.
“Kita mengharapkan beberapa projek yang memang wajar diluluskan kerajaan kepada polis dapat diluluskan segera. Daifnya Bukit Aman, kami tidak mempunyai sebuah dewan, tidak ada parkir mencukupi.
“Tidak ada dataran untuk jalankan kawad kaki, sebaliknya terpaksa menumpang lot parkir. Saya rayu dengan kerajaan persekutuan luluskan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Hamid turut membandingkan kemudahan diperoleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ketika ini mempunyai fasiliti lebih baik berbanding polis seperti mempunyai hospital, bangunan canggih dan mempunyai maktab tentera sendiri.
“Kalau dibandingkan dengan ATM, kami di pihak polis rasa macam di anak tirikan. Sudahlah ‘water cannon’ kami berusia 25 tahun, kereta perisai kami berumur 42 tahun, kami juga diberikan tanggungjawab mengawal sempadan.
“Anak-anak buah saya turut diserang penyeludup jahat, dengan bot marin kami yang hanya mempunyai kelajuan 8 hingga 10 knot, sedangkan bot penyeludup boleh meluncur laju 20 hingga 30 knot.
“Saya minta Belanjawan 2020 tumpuan diberi kepada bekalan logistik. Namun polis tidaklah meminta sebuah hospital atau minta tubuhkan universiti, cumanya minta dapat memantapkan lagi pasukan,” katanya.
Hamid pada masa sama berkata, pihaknya menyambut baik kesediaan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook yang secara dasarnya bersetuju untuk membina stesen komuter khusus di Bukit Aman.
“Menteri Pengangkutan bersetuju untuk idea mendirikan sebuah stesen komuter di Bukit Aman, khusus untuk 3,000 hingga 4,000 warga kerja di Bukit Aman. Ia memberikan banyak keselesaan kepada warga kerja polis.
“Jabatan kerajaan yang berjiran dengan Bukit Aman juga akan menikmatinya, seperti Jabatan Perangkaan, Jabatan Kesihatan. Ribuan orang akan menikmati kemudahan ini. Saya harap dapat disegerakan, kami sudah lesu,” katanya.