Denggi ragut 10 nyawa di N Sembilan

Denggi ragut 10 nyawa di N Sembilan

Ia mencatatkan peningkatan kepada 2,205 kes sejak 1 Jan sehingga 14 Dis lepas berbanding 4 kematian daripada 1,740 kes yang direkodkan tahun lepas.

Orang ramai digesa menjaga kebersihan di sekitar kawasan perumahan masing-masing bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes.
SEREMBAN:
Jumlah kes demam denggi di Negeri Sembilan terus mencatatkan peningkatan kepada 2,205 kes sejak 1 Jan sehingga 14 Dis lepas dengan 10 kematian berbanding 4 kematian daripada 1,740 kes yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata ia menjadikan jumlah kumulatif kes denggi di negeri ini meningkat sebanyak 26.7%.

“Taburan kumulatif kes denggi di Negeri Sembilan pada tahun ini adalah sebanyak 1,763 kes di daerah Seremban, Port Dickson (103), Tampin (101), Jempol (79), Rembau (60), Jelebu (50) dan Kuala Pilah (49),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata 8 lokaliti wabak dikesan masih aktif dengan 7 daripadanya di daerah Seremban manakala 1 di Kuala Pilah, setakat 14 Dis lepas .

“Ia melibatkan kawasan di Seremban iaitu Taman College Height, Taman Desa, Taman Desa Ria, Taman Tuanku Jaafar Fasa 3, Taman Angsamas, Taman Desa Rhu, Kampung Baru Rasah manakala di Kuala Pilah hanya melibatkan Taman Bahagia Delima,” katanya.

Beliau berkata ekoran peningkatan bilangan kumulatif kes denggi, aktiviti pencegahan dan kawalan dipergiatkan dan diperhebatkan termasuk menjalankan aktiviti mencari dan musnah tempat pembiakan aedes.

“Selain itu, aktiviti memusnahkan larva, semburan asap, Ops Gempur Aedes, promosi kesihatan dan gotong-royong melibatkan pihak masyarakat turut diadakan,” katanya.

Bagi mengurangkan penularan serta mengelak peningkatan demam denggi, beliau berkata orang ramai digesa agar menjaga kebersihan di sekitar kawasan perumahan masing-masing.

Selain itu, beliau menasihatkan individu yang ingin melakukan aktiviti luar semasa waktu puncak gigitan aedes dari 5 pagi hingga 8 pagi, dan 5 petang hingga 8 malam, supaya memakai pakaian cerah dan berlengan panjang serta menggunakan bahan pencegah nyamuk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.