
Justeru beliau menasihati peguam Haniff Khatri Abdulla supaya membaca Buku Harapan sebelum membuat komen tentang janji PH pada pilihan raya umum ke-14 tahun lepas.
“Haniff jelas silap apabila beliau mendakwa sesetengah pemimpin DAP, atas kedudukan mereka sebagai anggota kerajaan, campur tangan dalam urusan polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya Janji 27 (halaman 77) mengenai “menghapuskan undang-undang yang zalim” menyebut bahawa “kerajaan PH akan memansuhkan peruntukan yang zalim” dalam Sosma.
Ini termasuklah tidak membenarkan ikat jamin ke atas individu yang didakwa di bawah Sosma dan ketika kes terbabit tertakluk kepada rayuan ke mahkamah lebih tinggi yang mungkin mengambil masa selama beberapa tahun.
“Ia merupakan satu perkembangan perundangan dan kehakiman yang penting apabila hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan bahawa Seksyen 13 Sosma, yang tidak membenarkan ikat jamin kepada orang yang ditahan di bawah undang-undang itu sebagai bercanggah dengan perlembagaan.
“Adalah lebih baik sekiranya peruntukan drakonian dan bercanggah dengan perlembagaan ini dimansuhkan oleh Parlimen sebelum 29 Nov lepas, iaitu tarikh apabila hakim Nazlan memutuskan ia bercanggah dengan perlembagaan,” kata Lim.
Dalam satu temu bual pada Jumaat, Haniff dilaporkan berkata, serangan DAP terhadap siasatan polis berkait kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) tidak memberi imej baik kepada negara dalam konteks pemerintahan mengikut undang-undang.
Beliau berkata, serangan itu memberi gambaran bahawa DAP, atas kedudukannya sebagai sebahagian daripada kerajaan, campur tangan dalam urusan polis.
Haniff berkata, beliau membangkitkan perkara itu kerana kerajaan kelihatan membelakangkan undang-undang demi manfaat anggotanya sendiri.
Tiga anggota DAP, iaitu 2 ahli Dewan undangan Negeri dan seorang ahli majlis tempatan, didakwa memberi sokongan kepada LTTE di Melaka pada Nov tahun lepas.
Sembilan yang lain juga ditahan di Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang atas dakwaan keganasan berkait dengan LTTE.
Lim berkata, Parlimen telah mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri bagi memastikan tidak berlaku salah guna kuasa polis seperti yang berlaku di bawah kerajaan sebelum ini, iaitu apabila doktrin pemisahan kuasa dilanggar dan Parlimen tidak dapat memenuhi fungsi perlembagaannya yang sebenar.
Justeru semua peruntukan di bawah Sosma hendaklah digantung sehingga kerajaan PH menunaikan janji Buku Harapan untuk menghapuskan aspek drakonian undang-undang itu, katanya.
Beliau berkata, DAP mengutuk keganasan dalam semua bentuknya dan akan memberi sokongan penuh kepada pihak berkuasa dalam memerangi keganasan.
“Sudah 2 bulan setengah sejak penahanan Exco negeri daripada DAP G Saminathan, ahli Dewan Undangan Negeri P Gunasekaran dan 8 yang lain kerana dikaitkan dengan LTTE.
“Tetapi sehingga kini tiada bukti konkrit diberikan oleh polis, terutama sekali kerana LTTE telah berkubur selama 9 tahun.
“Era apabila keselamatan negara menjadi tugas polis semata-mata telah berakhir kerana keselamatan negara seharusnya menjadi tanggungjawab semua rakyat dah ahli Parlimen Malaysia yang patriotik.
“Pada era baru penuh akauntibiliti dan kerajaan yang telus seperti dijanjikan oleh PH, polis mesti bertindak dengan telus dan bertanggungjawab.”